HOME

Wednesday, February 19, 2014

BN Tak Perlu Calon Dun Kajang, Anwar Tewas?

 Calon PKR

DATUK Seri Anwar Ibrahim dan PKR boleh dikira bertuah kerana mereka punya banyak musuh termasuk yang dahulu kawan tetapi sekarang sudah jadi lawan.
Kesannya, apabila Anwar umum mahu bertanding PRK Dun Kajang, sekurang-kurangnya dua bekas kawan Ketua Pembangkang itu isytihar mahu menentangnya.

Paling awal, Datuk Nallakaruppan yang pernah jadi rakan karib Anwar selama 30 tahun. Tiga hari lepas, Datuk Zaid Ibrahim juga umum mahu masuk daun.

Kata Zaid Ibrahim, tujuannya bertanding PRK Dun Kajang adalah untuk menyelamatkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Anwar Ibrahim.


Selepas pengumuman itu tiga hari lalu, selama tiga hari ini jugalah penulis siang malam berfikir mencari logik bagaimana penyertaan Zaid dalam pilihan raya itu boleh membantu menyelamatkan Khalid yang dikatakan ada usaha mahu menyingkirkannya bukan sahaja dari kerusi menteri besar, malahan juga daripada PKR.

Hasilnya tidak penulis temukan. Atau mungkin juga logik itu sememangnya tidak ada.

Apa yang lebih logik adalah penyertaan Zaid hanya akan memecah undi yang menentang Anwar.

Dan jika BN juga masuk bertanding, sekurang-kurangnya undi sah yang tidak diberi kepada Anwar akan terpecah tiga. Ini bermakna peluang Anwar untuk menang adalah lebih cerah, malah boleh dikatakan majoriti yang diperolehi  juga mungkin bertambah berbanding PRU13.

Khalid atau Anwar
Dengan ini timbul persoalan, siapakah yang mahu diselamatkan Zaid, Khalid atau Anwar?

Sebab secara logiknya, penyertaan beliau dalam PRK Dun Kajang dilihat lebih membantu Anwar untuk memecahkan undi BN (jika BN menyertai PRK itu) sedangkan bagaimana beliau boleh membantu menyelamatkan Khalid seperti yang dikatakan, masih tidak nampak kemunasabahannya.

Dengan penyertaan Zaid, Nalla dan calon BN yang setakat ini masih belum diumumkan siapa, peluang Anwar untuk mempertahankan kerusi Dun Kajang dalam genggaman PKR adalah sangat cerah.

Ini dapat dinilai hanya dengan kira-kira mudah bahawa pemecahan undi boleh membantu calon yang tidak begitu kuat sekalipun untuk menang, inikan pula Anwar Ibrahim!
  
Kerana itu, BN seharusnya membuat keputusan lebih awal sama ada mahu atau tidak masuk bertanding pada pilihan raya itu. Berbanding PKR yang turun padang sejak awal, BN hingga petang semalam masih belum buat apa-apa keputusan mahupun tindakan malah dilihat seperti tidak bersedia langsung.


Memanglah gendang perang belum dipalu tetapi sekurang-kurangnya keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak, perlu dibuat lebih awal. Sikap diam dan senyap BN ternyata mengundang masalah.

Ini dapat dilihat apabila ada pihak mahu calon Melayu diturunkan pada PRK Kajang dan perbahasan mengenai perkara itu amat tidak sesuai terutama dalam saat menghadapi pilihan raya seperti sekarang.

Pengundi Cina yang seramai 41 peratus tidak boleh dijejaskan hati mereka dengan desakan yang semacam itu kerana kerusi Dun Kajang sememangnya adalah kuota MCA.

Seperti yang sedia diketahui, mode pengundi Cina pada masa ini, di mana-mana jua pun adalah sangat tidak yakin kepada MCA. Dalam keadaan ini, MCA perlu dibantu dan diberi semangat, bukannya ditekan.


Underdog
Hal yang seperti inilah sepatutnya dikawal dengan cekap dan bijak oleh BN.

Manakala di pihak PKR, apabila lawan lambat turun ke gelanggang, ruang yang diberi membolehkan mereka menari sepuas-puasnya di samping menunjuk kepada pengundi betapa mereka sememangnya layak untuk menang besar .

 Sikap BN sendiri sudah cukup untuk jadi modal buat mereka mempengaruhi pengundi seolah-olah Anwar mustahil untuk dikalahkan.

Dan Anwar seperti biasa, tetap akan menganggap dirinya calon underdog yang tidak ada jaminan sama sekali untuk menang mudah.

Kerana itu, beliau akan menunjuk kesanggupan untuk bekerja keras siang dan malam. Sememangnya pun, Anwar sedia diketahui sanggup untuk berbuat apa sahaja untuk mencapai matlamat politiknya.


Siapa sangka beliau yang sudah sekian lama sinonim dengan alamat Cherok To' Kun, Bukit Mertajam untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh termasuk pada PRU13 baru lalu, tiba-tiba menukar alamat ke Country Heights, Kajang.


Ini salah satu bukti kerja keras yang telah dilakukannya, belum lagi kerja keras yang lain!

Bagi pemerhati, ada baiknya untuk PRK Dun Kajang ini, BN tidak letak calon.

Dari satu segi, memanglah ini merugikan BN yang mana tahu, tiba-tiba terbuka pintu langit dan Anwar kalah secara luar jangkaan.


Tetapi ini kerugian jangka pendek sahaja. Untuk jangka panjang, BN akan dilihat lebih menghormati perasaan rakyat, tidak mementingkan diri sebagaimana PKR yang suka-suka hati mengosongkan kerusi hanya dalam tempoh sembilan bulan selepas PRU13 untuk mencapai matlamat politik dalaman parti mereka.


Langkah ini juga akan membolehkan BN dilihat berusaha melakukan sesuatu dengan mengenepikan kepentingan politik untuk menjimatkan wang dengan mengelak penyertaan dalam PRK yang pengosongan kerusinya disengajakan tanpa sebab-sebab yang mewajarkan.

Selain itu, apa yang lebih molek bagi BN ialah menyokong Nallakaruppan. Nalla sendiri yang membuat keputusan untuk bertanding dan ini satu bayangan jelas bahawa beliau bersedia untuk berbelanja besar bagi tujuan itu.

Dengan ini, BN cukup dengan hanya membantu sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.


Lagi pula, berbekal status bekas rakan karib selama 30 tahun, segala rahsia Anwar dalam kocek Nalla seperti yang pernah dikatakannya dan penyertaannya dalam PRK itu tentunya lebih menggusarkan Anwar berbanding calon lain.

Dan sebagai kemuncak perseteruan, Nalla harus meluahkan segala diketahuinya mengenai Anwar daripada sekadar menggertak seperti sebelum ini.

Dan jika beliau kalah sekalipun, BN tidak akan terjejas berbanding jika mereka meletakkan calon.


Menambah lagi calon hanya akan membuat keadaan lebih bercelaru dan ada kemungkinan Herman Tino yang sudah mula berkempen menerusi Twitter #Herman4Kajang, tidak mustahil menang kerana bilangan pengundi Jawa yang ramai menggemari lagu Ojo Kesandung di bandar sate itu.

sinar

No comments:

Post a Comment

Gunakan akal dan budi untuk menulis. Terima Kasih Tuan..

About Me

Followers