HOME

Monday, January 7, 2013

Kebijaksanaan Kepimpinan Ditagih !


Kebijaksanaan kepemimpinan ditagih

Dunia melangkah ke tahun baru dengan pelbagai harapan walaupun suasana politik global masih tidak menentu. Malapetaka dunia atau kiamat tidak berlaku seperti yang diramalkan pihak Barat pada 21 Disember 2012 mengikut kalendar Mayan. Meninjau pergolakan politik global 2012 memperlihatkan konflik serantau yang berlaku di Timur Tengah, iaitu di Syria dan Palestin. Keganasan global masih berleluasa di Iraq, Afghanistan dan Pakistan kesan daripada pencerobohan tentera penjajah.
Selain itu, krisis ekonomi bermula pada 2007 terus memberi impak yang signifikan kepada politik nasional apabila mencetuskan revolusi Arab yang menumbangkan kerajaan autokratik di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen. Krisis ekonomi menyebabkan kerajaan demokratik juga tumbang dan perubahan rejim pemerintah berlaku terutama di United Kingdom, Perancis dan Jepun. Negara Eropah juga mengalami musibah ekonomi apabila negara seperti Greece, Portugal dan Ireland jatuh muflis.


Masyarakat antarabangsa kini sedang memerhatikan China dan India dengan penuh minat. Ramai diplomat dan sarjana politik antarabangsa mula meramalkan dua negara ini menjadi kuasa besar global masa hadapan dan mengimbangi kuasa Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang lesu kesan krisis ekonomi. China dan India mempunyai simpanan kekuatan senjata nuklear selain mempunyai populasi lebih satu bilion, sangat berpotensi mendominasi dunia masa depan yang dicurigai dunia Barat.

2012 juga menyaksikan rakyat AS memberi semula mandat kepada Presiden Barack Obama untuk menerajui penggal keduanya. Obama daripada parti Demokrat yang mengemukakan pelan pemulihan ekonomi AS dilihat lebih praktikal berbanding lawan beliau, Mick Romney selain membataskan dasar luar imperialisme AS.

Kemakmuran ekonomi

Persoalan yang perlu dijawab di sini ialah bagaimanakah pula bentuk politik global pada 2013? Tidak ramai penganalisis politik dunia berbanding penganalisis ekonomi yang melihat 2013 secara optimistik. Majalah Economist meramalkan 2013 akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia dengan China terus mengetuai perkembangan pesat ekonomi global. Namun, majoriti negara dunia terpaksa melaksanakan bajet defisit bagi menghadapi inflasi dan kelembapan ekonomi. Asia, kecuali Jepun dan Asia Barat, terus dilihat akan berkembang dalam kadar 6.4 peratus, dengan Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.6 peratus.
Kemakmuran ekonomi juga masih bergantung kepada kemampuan ekonomi AS untuk terus berkembang. Kini AS menghadapi masalah dasar fiskal dikenali sebagai ‘fiscal cliff’. Untuk menyelamatkan ekonominya, AS harus mengenakan cukai yang lebih tinggi khususnya kepada golongan kelas menengah dan mengurangkan perbelanjaan negara khususnya perbelanjaan ketenteraan serta merombak sistem pemberian bantuan seperti pencen untuk meningkatkan pendapatan negara.

Pembaharuan yang akan dilakukan AS, sekiranya diluluskan Kongres, akan membebankan penduduk AS, namun akan memulihkan ekonomi AS yang sedang tenat. Langkah ini juga akan menyebabkan AS mengurangkan import luar negara yang mungkin menjejaskan negara pengeksport seperti Malaysia. AS juga akan mengurangkan aktiviti ketenteraannya di luar negara, yang menyebabkan AS memanggil pulang tenteranya yang sedang berkubu di Afghanistan. Penemuan simpanan minyak petroleum baru di pesisir luar negara AS dilihat mampu menstabilkan permintaan dan penawaran minyak di AS.

Konflik politik Timur Tengah

Sementara itu, konflik politik Timur Tengah diramalkan menjadi lebih buruk pada 2013. Perang saudara di Syria sudah menjadi perang proksi antara Iran, China dan Russia yang membantu rejim Bashar al-Assad. Manakala negara Arab seperti Arab Saudi dan Qatar bersama Turki dan AS dilihat membantu puak pemberontak. Iran harus memastikan rejim al-Assad terus memerintah kerana sekiranya tumbang, tekanan akan dihadapi Iran yang kehilangan sekutu kuatnya di Syria.

Krisis Israel-Palestin akan berterusan walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai negara bukan ahli PBB. Namun rejim Zionis terus membina penempatan haram di wilayah Palestin. Pelan penyelesaian dua negara yang dirancang PBB masih tidak menampakkan perkembangan yang positif.

Rantau Asia Tenggara pula akan memperlihatkan keadaan yang positif ke arah kewujudan komuniti ASEAN dijangka pada 2015. Pertumbuhan ekonomi akan berlaku dalam kadar 4 sehingga 6.3 peratus dengan Indonesia diramal mengalami pertumbuhan paling pesat. Politik domestik agak stabil dengan Myanmar kini bergerak menuju pendemokrasian.

Semua negara ASEAN, termasuk Laos dan Vietnam yang berfahaman komunis mula mengamalkan secara agresif ekonomi kapitalisme. Kebimbangan bagi ASEAN, juga Jepun dan Korea Selatan kini adalah perluasan kuasa China yang mula menuntut hak kedaulatan ke atas kepulauan Spratly dan Laut China Selatan. Reaksi ASEAN adalah untuk berdialog dengan China, namun Filipina yang dibantu AS mula mencabar secara keras perluasan kuasa China.

Apa yang pasti, dunia akan terus berada dalam situasi anarki pada 2013. Hanya kebijaksanaan kepemimpinan sesebuah negara akan menentukan keamanan dan kemakmuran sejagat berterusan untuk terus dinikmati bersama.
Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

No comments:

Post a Comment

Gunakan akal dan budi untuk menulis. Terima Kasih Tuan..

About Me

Followers