HOME

Monday, April 13, 2015

Konsep Kontrak Sosial





1.0  PENGENALAN
Era tahun 1952 sehingga tahun 1955 telah mempamerkan perkembangan politik yang pesat antara kaum di Tanah Melayu. Perkembangan ini merupakan salah satu kerjasama politik yang awal sebelum terbentuknya Malaysia. Sejajar dengan perkembangan politik ini juga dipengaruhi oleh tahap kesedaran masyarakat berkaitan dengan tindakan pihak British terhadap masyarakat di Tanah Melayu. Nilai kesedaran yang ada dalam kalangan masyarakat Melayu ini telah membawa kepada beberapa gerakan yang lebih teratur dengan tertubuhnya beberapa organisasi. Tahap kesedaran masyarakat Melayu juga dipengaruhi oleh tahap layanan daripada British yang lebih mengutamakan golongan bangsawan Melayu. Golongan masyarakat Melayu di luar bandar ketinggalan dan keadaan ini memaksa mereka untuk menuntut hak sama .rata untuk mereka.
Kepelbagaian kaum di Tanah Melayu menjadi satu cabaran dalam mencapai perpaduan. Justeru itu, usaha dalam mewujudkan kesepaduan memerlukan kerjasama yang tinggi dalam kalangan kaum yang terdapat di Tanah Melayu. Sebelum bermulanya kerjasama politik antara kaum ini, setiap kaum mempunyai organisasi politik mereka sendiri. Organisasi politik mengikut kaum ini perlu bagi menjaga hak dan kepentingan mereka. Sekitar tahun 1950an merupakan ‘turning point’ dalam usaha mewujudkan integrasi politik kerana pada ketika ini bermulanya ambang permuafakatan dalam kalangan masyarakat pelbagai kamu di Tanah Melayu. Penubuhan parti UMNO (United Malay National Organization) dan juga MCA (Malayan Chinese Associate) telah membawa kepada parti yang lebih besar yang dikenali sebagai parti PERIKATAN. Bernaung di bawah parti yang yang dominan ini menjadi titik tolak kepada kerjasama antara kaum sehingga tercapainya kemerdekaan di Tanah Melayu. Beberapa siri kerjasama dalam pilihan raya telah membawa parti ini untuk memenangi pilihan raya diperingkat bandaraya Kuala Lumpur. Parti UMNO dan juga MCA ini sebenarnya merupakan asas kepada permuafakatan politik kepada pihak PERIKATAN yang menjadikannya sebagai contoh untuk mencapai misi kemerdekaan yang telah di bawa oleh Tunku Abdul Rahman.
Dalam mencapai misi kemerdekaan ini, beberapa kesepakatan telah dicapai yang melibatkan persetujuan dan kerjasama daripada semua kaum. Setiap persetujuan yang dicapai mengambil kira kepentingan kaum masing-masing. Perkara ini menjadi asas kepada misi untuk menuntut kemerdekaan dan membantu dalam perkembangan politik di Tanah Melayu. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bidang politik di Tanah Melayu menjadi pesat ditambah lagi dengan pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Pembentukan Malaysia ini tidak mengubah kerjasama kaum yang diperolehi pada sebelumnya. Justeru, ikatan kerjasama sebelum ini telah membantu dan menjadi garis panduan dalam mengekalkan perpaduan sehingga kini. Di samping itu, penulisan yang dihasilkan ini adalah untuk menjelaskan lagi dengan lebih baik berkaitan dengan kontrak sosial. Secara tidak langsung juga untuk mengupas sejauhmana kontrak sosial yang telah ada membantu dalam perkembangan politik di Malaysia yang penuh dengan cabaran.





















2.0  KONSEP KONTRAK SOSIAL
Dalam membincangkan isu ‘kontrak sosial’, kita tidak boleh lari daripada berbincang aspek politik. Berdasarkan sejarah negara yang kita fahami, kontrak sosial ini merupakan persetujuan yang tidak bertulis dan tidak ditandatangani. Di samping itu, setiap persetujuan ini telah diperakui dengan adanya nilai toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Proses persefahaman ini tidak hanya berlaku dalam satu masa tetapi nilai persefahaman tersebut dicapai dari semasa ke semasa. Antaranya adalah persetujuan berkaitan dengan manifesto Perikatan dalam pilihan raya umum pada tahun 1955. Manifesto ini merupakan titik tolak kepada wujudnya perlembagaan di negara kita yang telah dipersetujui oleh semua kaum ketika itu.

Peristiwa yang membawa kepada kontrak sosial ini bermula dengan isu  Perlembagaan Malayan Union yang telah diperkenalkan oleh pihak British di Tanah Melayu. Penjajah British di Tanah Melayu telah memperkenalkan konsep kerakyatan yang dikenali sebagai jus soli. Konsep ini merupakan pembukaan kerakyatan kepada pendatang asing yang ada di Tanah Melayu. Hal ini dengan kerasnya ditentang oleh masyarakat Melayu kerana kesannya boleh menyebabkan masyarakat Melayu kehilangan hak di Tanah Melayu.Penentangan berkaitan dengan isu ini telah membawa kepada wujudnya Kongres Melayu pertama yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 Mac sehingga  4 Mac tahun 1946. Masyarakat Melayu berikrar untuk menentang isu ini walau dengan apa cara sekalipun. Di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar, Kongres Melayu Kedua telah diadakan di Johor dan pihak British tiada pilihan lain selain berunding dengan raja-raja Melayu berkaitan dengan perlembagaan Malayan Union. Malayan Union berjaya dimansuhkan dan Kerajaan Persekutuan berjaya ditubuhkan.

Kejayaan tersebut memberikan semangat kepada Dato’Onn Jaafar untuk terus berjuang demi mempertahankan hak-hak orang Melayu. Namun begitu, beliau yang merupakan orang kuat UMNO telah dipaksa oleh pihak British untuk menerima pendatang asing di Tanah Melayu terutama masyarakat Cina. Perkara ini disokong lagi dengan tindakan Tun Tan Cheng Lock yang merupakan salah seorang pemimpin yang berpengaruh di London telah meminta pihak British untuk mendapatkan hak kerakyatan yang diiktiraf di Tanah Melayu. Dalam keadaan yang terpaksa, Dato’ Onn Jaafar telah bersetuju untuk melonggarkan syarat kerakyatan dan bercadang untuk membuka keahlian UMNO kepada semua kaum di Tanah Melayu. Perkara ini telah dibentangkan oleh beliau semasa perhimpunan Agung UMNO. Sememangnya idea beliau ini mendapat tentangan daripada ahli UMNO yang lain. Tindakan beliau meletak jawatan dalam UMNO memberikan kejutan kepada ahli yang lain. Jawatan beliau ini telah diganti oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Abdul Manaf Ahmad (2009), Tunku menegaskan bahawa beliau akan mempertahankan dasar UMNO, kerakyatan dan juga hak istimewa orang Melayu.

Mohd Ainuddin Iskandar dan Lee Abdullah (2002), tahun 1950an, pilihan raya tempatan diperkenalkan sebagai langkah untuk memupuk kesepaduan kaum. Antara pilihan raya yang diadakan adalah Pilihan Raya Majlis Bandaran peringkat George Town ,  Pulau Pinang tahun 1951, Pilihan Raya Majlis Bandaran Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Melaka dan Seremban pada tahun 1952 dan pilihan raya peringkat negeri pada tahun 1952 manakala peringkat persekutuan pada tahun 1955. Perubahan secara drastik telah berlaku apabila pemimpin UMNO dan MCA telah menjalinkan kerjasama yang baik di Kuala Lumpur untuk berhadapan dengan pilihan raya bandaran Kuala Lumpur. Parti UMNO dan MCA yang dibawah pimpinan Tun Tan Cheng Lock telah bekerjasama di bawah satu parti yang dikenali Perikatan. Dengan kerjasama dua parti ini, Perikatan telah mengambil bahagian dalam pilihan raya bandaran Kuala Lumpur dan memenangi 9 buah kerusi daripada 12 kerusi yang telah dipertandingkan. Ini menunjukan bahawa Perikatan telah berjaya memenangi pilihan raya tersebut.

Kejayaan ini telah mendorong parti ini untuk membincangkan isu – isu terbaru untuk kepentingan masa hadapan. MCA telah membangkitkan isu berkaitan dengan isu kerakyatan dan hak istimewa orang Melayu. Rundingan bersama telah dijalankan dan Tunku dengan sikap toleransi bersetuju untuk menerima prinsip jus soli yang telah dibangkitkan oleh pemimpin MCA. Persetujuan yang diperakui oleh Tunku ini mendapatan tentangan daripada ahli UMNO yang lain tetapi dapat diselesaikan. Kemudiannya, Perikatan terdiri daripada UMNO, MCA dan juga MIC. Gabungan 3 buah parti yang mewakili setiap kaum ini telah temeterai kerjasama yang kukuh. Hasil kesepakatan telah terbentuknya satu memorandum bersama untuk disampaikan kepada suruhanjaya Reid. Tiga perkara penting yang telah dipersetujui adalah yang pertama berkaitan dengan kerakyatan berasaskan prinsip jus soli seperti yang dituntut oleh MCA. Kedua mengekalkan hak istimewa orang Melayu. Ketiga kedudukan bahasa, kebudayaan dan juga agama. Persetujuan berkaitan dengan tiga perkara ini merupakan asas kontrak sosial yang diperkatakan.

Dalam mencapai kemerdekaan, kontrak sosial yang ada antara kaum penting dalam menjayakan misi kemerdekaan tersebut. Rundingan meja bulat antara UMNO dan MCA telah dijalankan dengan jayanya. Abd Manaf Ahmad (2009), semasa persidangan UMNO di Butterworth, Tunku telah menyentuh perkara berkaitan dengan kedatangan Dr. Percell dari London yang ingin menjadi orang tengah dalam perundingan UMNO dan juga MCA. Perkara ini tidak dipersetujui oleh Tunku sebaliknya beliau telah meminta wakil pemimpin daripada setiap parti untuk berunding bagi menyelesaikan masalah tanpa memerlukan orang tengah. Cadangan ini telah diterima baik oleh pihak pemimpin MCA dan persetujuan untuk mengadakan rundingan bulat telah dipersetujui. Rundingan Meja Bulat UMNO-MCA yang pertama telah diadakan pada 3 Februari 1953 di Kuala Lumpur.

Bagi mengelakan sebarang permasalahan semasa rundingan tersebut, Tunku telah mengambil jalan bijak dengan menjelaskan terlebih dahulu mengenai sejarah Semenanjung Tanah Melayu yang dibuktikan melalui sumber Arkib Negara dan juga muzium. Berdasarkan sumber tersebut, dapat dibuktikan bahawa Tanah Melayu ini merupakan warisan bangsa Melayu. Hak milik ini menjadi tanda bahawa golongan orang Melayu berhak untuk menerima segala keutamaan tanpa dipersoalkan. Penerangan ini sebenarnya untuk memberikan kesedaran kepada semua pihak tentang taraf orang Melayu di Tanah Melayu. Penjelasan ini diterima baik oleh pihak MCA dan rundingan yang dijalankan adalah berasaskan perkara tersebut. Keterbukaan ini telah menjadikan rundingan meja bulat yang diadakan dapat dijalankan dengan lancar dan secara bebas. Setiap keinginan dan pandangan daripada bangsa lain telah dapat diutarakan dan sekaligus kesefahaman dicapai. Nilai kesefahaman ini penting bagi melahirkan perasaan hormat dan toleransi sesama kaum untuk membentuk kerjasama yang kekal. Rundingan Meja Bulat UMNO-MCA ini telah berjaya dilaksanakan sebanyak tiga kali iaitu pada 3 Februari 1952 di Kuala Lumpur, 21 Februari 1953 di Singapura dan rundingan yan g terakhir diadakan pada 15 Mac 1953 di Johor Bahru.
Kerjasama yang erat antara UMNO dan MCA ini ada kalanya dipersoalkan oleh pihak lain. Ada pihak yang menyatakan bahawa Perikatan ini tidak akan kekal lama kerana unsur konflik antara Melayu dan Cina rentetan daripada masalah hubungan kaum sebelum ini. Berdasarkan kemenangan pada Pilihan Raya Bandaran, kesepakatan antara UMNO dan juga MCA sangat ketara. Namun demi mengukuhkan lagi sokongan yang padu daripada MCA, perhimpunan pertubuhan-pertubuhan Melayu diadakan di Johor pada 11 Ogos 1953 bagi membincangkan kerjasama untuk pilihan raya seterusnya. Tujuan utama perhimpunan ini adalah untuk menuntut supaya Pilihan Raya Federal diadakan pada tahun 1954. Perhimpunan dijalankan secara aman tanpa wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli yang hadir. Setiap wakil pertubuhan yang hadir mengambil bahagian dalam menyuarakan pendapat dengan tertib dan saling menghormati dengan wakil pertubuhan yang lain. Peluang yang ada ini diambil baik oleh Tunku untuk menjelaskan tentang kerjasama UMNO dengan MCA serta menjelaskan langkah terbaik ke arah menuju kemerdekaan. Perjumpaan ini dikatakan berjaya kerana kesefahaman daripada semua wakil yang hadir dapat dicapai dan matlamat UMNO untuk mewujudkan perpaduan hampir terlaksana.
Perkara utama yang perlu dicapai dalam misi mendapatkan kemerdekaan adalah perpaduan yang erat antara kaum. Perhimpunan sesama pertubuhan yang ada di Tanah Melayu ketika ini semakin giat dijalankan bagi membincangkan hal yang berkaitan dengan kepentingan sesama kaum dan untuk mengukuhkan lagi perpaduan. Perhimpunan yang dikenali sebagai National Convention dianjurkan oleh pihak Perikatan merangkumi semua pertubuhan politik yang terdapat di negeri ini. Ini merupakan perhimpunan kebangsaan yang mendapat liputan yang luas oleh pihak media. Tujuan utama perhimpunan ini berfokus kepada matlamat untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Pertemuan semua pertubuhan politik ini diadakan di Kuala Lumpur pada 23 ogos 1953. Antara pertubuhan politik yang hadir adalah UMNO, MCA, Persatuan Melayu Semenanjung, Persatuan Islam Se-Malaya dan Persatuan Melayu Kelantan.

Dalam setiap perhimpunan, terdapat kata sepakat yang dicapai. Contohnya, dalam perhimpunan kebangsaan satu persetujuan dan rundingan dicapai dengan kata sepakat daripada semua wakil pertubuhan parti politik. Menurut Abd Manaf Ahmad (2009), penyataan yang dikeluarkan oleh wakil politik yang hadir adalah seperti berikut:

“ Kami wakil-wakil pertubuhan politik yang demokratik di Tanah Melayu, dengan ini mengumumkan bahawa kami akan berusaha mendapatkan sebuah kerajaan yang berasaskan perlembagaan melalui perundingan damai, supaya tercapai sebuah negara merdeka berdaulat dalam lingkungan Komanwel, iaitu mengandungi semua negeri-negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat yang pada masa ini terkenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai langkah untuk mencapai tujuan tersebut, kami dengan ini menuntut supaya diadakan Pilihan Raya Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu dalam Tahun 1954”.
Selain daripada pengakuan ini, terdapat beberapa perkara yang telah diperakui oleh ahli perhimpunan. Perkara utama yang membuktikan bahawa setiap wakil kaum mencapai kata sepakat adalah apabila semua yang hadir memperakui bahawa mereka akan menimbang, menyesuai dan mendamaikan tuntutan yang berselisih pendapat daripada kaum-kaum dan puak-puak serta memelihara hak-hak minoriti. Penyataan ini membuktikan bahawa mereka telah kata sepakat untuk mewujudkan perpaduan demi kepentingan bersama dalam mencapai misi kemerdekaan.
Nilai kesepaduan terbukti tercapai apabila MIC turut sama bergabung dalam Perikatan. Malayan Indian Congress (MIC) ini dengan hati yang terbuka telah menyampaikan hasrat untuk turut sama bergabung dalam Perikatan. Gabungan ketiga-tiga parti ini iaitu UMNO, MCA dan juga MIC ini lengkap mewakili tiga kaum terbesar di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan juga India. Tidak ada yang lebih penting dalam usaha sama ini melainkan bekerjasama dalam pilihan raya dan tuntutan kemerdekaan. Dengan gabungan ini juga, setiap kepentingan kaum dapat diutarakan dalam rundingan yang diadakan. Selain daripada itu, misi kemerdekaan akan lebih kukuh kerana kesepaduan kaum kunci untuk tuntutan kemerdekaan ini diperakui oleh pihak penjajah. Keyakinan yang lebih tinggi akan lebih diperolehi oleh Perikatan bagi menghadapi pilihan raya seterusnya. Seiring dengan matlamat UMNO untuk mendapat kemerdekaan melalui proses Perlembagaan dan pilihan raya.
            Gabungan tiga parti besar ini telah berjaya melahirkan sebuah manifesto untuk Pilihan Raya Federal yang pertama pada 27 Julai 1955. Kandungan manifesto ini merupakan beberapa perkara yang telah dipersetujui bersama dan mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk mewujudkan perubahan terhadap kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Manifesto Perikatan kali ini bertemakan ‘Merdeka Dalam Tempoh Empat Tahun’. Dengan usaha ini kita dapat melihat bahawa hubungan baik antara kaum sangat utuh. Manifesto yang dirangka ini mengandungi beberapa perkara. Dalam pendahuluannya, tercatat berkaitan dengan kepercayaan yang diberikan oleh Perikatan untuk membawa tuntutan rakyat melalui perlembagaan dan taraf bekerajaan sendiri serta kemerdekaan seperti yang terkandung dalam Perjanjian Persekutuan tahun 1948. Manifesto ini merupakan asas kontrak sosial kerana meliputi semua aspek penting. Antara aspek yang diutarakan adalah berkaitan dengan pentadbiran, tanam-tanaman, kewangan dan ekonomi, pelajaran, daurat, perikanan, perumahan, buruh, tanah, kerajaan tempatan, perubatan dan kesihatan, politik, perkhidmatan kebajikan masyarakat serta merancang bandar dan luar bandar.
            Tahun 1955, merupakan kejayaan besar yang diperolehi oleh Perikatan. Kejayaan besar ini merupakan bukti kesatuan daripada setiap kaum dalam membawa Tanah Melayu ke arah pemerintahan sendiri. Keputusan pilihan raya yang memihak kepada parti Perikatan telah membawa kepada perubahan dalam bilangan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. Rohani Ab. Ghani dan Zulhilmi Paidi ( 2002), menyatakan bahawa kesan daripada kemenangan itu menjadikan Majlis Mesyuarat Kerajaan mengandungi Pesuruhjaya Tinggi selaku pengetua, 10 ahli Majlis Undangan yang dipilih, tiga orang ahli untuk jawatan ex-officio dan dua orang lagi dilantik. Mereka yang dilantik ini telah diberikan amanat untuk mengepalai kementerian dan mereka ini bergelar menteri.
            Rundingan demi rundingan telah dijalankan bersama oleh Perikatan. Usaha dalam mencapai kesepaduan juga telah berjaya dicapai dan tahun 1955 ini merupakan usaha keras dalam membincangkan isu kemerdekaan. Memorandum kemerdekaan telah dihasilkan dengan mengandungi tuntutan agar Tanah Melayu diberikan taraf bekerajaan sendiri. Perikatan sebulat suara meminta Pesuruhjaya British dan Raja-Raja Melayu untuk menubuhkan sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengkaji pindaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada. Perikatan dengan kerasnya membuat ugutan kepada pihak British dengan menarik semula wakil-wakil rakyat daripada semua majlis sekiranya permintaan ini tidak dipersetujui oleh kerajaan British.Wujudnya memorandum kemerdekaan ini bermulalah tuntutan rundingan berkaitan dengan kemerdekaan. Perjuangan bersama dalam Perikatan diteruskan sehingga Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada tahun 1957.Dalam mengukir kejayaan tersebut, terdapat pahit manis dalam menghadapi segala cabaran yang ada. Kontrak sosial ataupun persetujuan yang ada dalam hubungan kaum di Tanah Melayu ini banyak membantu menuju ke arah taraf berkerajaan sendiri.
            Berdasarkan sikap keterbukaan yang telah dipamerkan oleh setiap pemimpin, sentimen perkauman berjaya dielakkan. Kaum yang pelbagai dapat disatukan dalam satu misi sesebuah parti demi mencapai kesepaduan untuk kepentingam bersama. Kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua pihak juga telah menjadi asas dan rujukan dalam pelembagaan kerajaan. Kontrak sosial ini sebenarnya asas kepada perlembagaan di Tanah Melayu sehingga lahirnya Perlembagaan Persekutuan 1957 yang telah diiktiraf sehingga kini. Di samping itu, dengan penerangan kerjasama politik antara kaum ini dapat menjelaskan berkaitan dengan kontrak sosial yang telah dirangka bertujuan untuk menyelesaikan kepentingan semua kaum di Tanah Melayu. Kepentingan yang utama setelah kontrak sosial ini dimeterai melalui Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah memastikan semua pihak mematuhi perkara yang terkandung dalam perlembagaan dari generasi ke generasi seterusnya. Hal ini adalah supaya tidak ada pertelingkahan pada masa akan datang memandangkan suasana kehidupan masyarakat yang berbilang kaum.

3.0 CABARAN DALAM PERKEMBANGAN POLITIK

INTEGRASI DAN PERPADUAN
Perkataan perpaduan boleh dikatakan sebagai penggabungan dan juga kesatuan. Bagi integrasi pula boleh kita mudahkan maksudnya dengan penggabungan dua ataupun beberapa etnik menjadi satu kesatuan. Dalam mencapai konsep ini, sebenarnya kita menghadapi cabaran yang besar ditambah lagi dengan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia.
                
                 Integrasi ini tidak dapat dicapai sekiranya hanya ada satu kaum sahaja yang ada sikap toleransi. Justeru itu, bagi mencapai integrasi dalam masyarakat ataupun rakyat di Malaysia adalah dengan adanya kesefahaman dan sikap penerimaan dalam diri masing-masing. Perkara ini sememangnya sudah difahami oleh pihak kerajaan dan juga masyarakat. Walaupun integrasi ini mendapat kesukaran dalam merealisasikannya, tetapi tidak mustahil untuk tidak dicapai kerana sejarah negara kita telah membuktikannya. Merungkai tentang sejarah negara kita berkaitan dengan kemerdekaan, kita boleh melihat bagaimana tiga kaum terbesar telah bergabung dalam satu parti politik dan mencapai kesepakatan dalam perbincangan. Berdasarkan perbincangan yang acap kali diadakan itu, menghasilkan beberapa idea baru dalam menyelesaikan masalah dan dapat menjaga kepentingan kaum masing-masing. Buktinya adalah berdasarkan kontrak sosial yang telah menjadi asas kepada undang-undang ataupun dasar yang telah ada di Malaysia sehingga kini.
Sebenarnya, kontrak sosial ataupun perjanjian yang telah dipersetujui oleh semua ahli politik dan juga wakil-wakil parti terdahulu banyak memberikan panduan dan juga sebagai landasan untuk menjamin kesepaduan kaum di Malaysia sekarang. Seperti yang kita tahu sekarang, negara Malaysia mempunyai kuasa yang teratas iaitu perlembagaan. Perlembagaan yang ada sekarang ini sebenarnya berasaskan persetujuaan idea bersama dan juga perbincangan yang telah dipersetujui oleh semua wakil kaum. Justeru itu, perkara-perkara yang telah terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tidak boleh dipinda sesuka hati kerana itu merupakan suara semua rakyat melalui setiap wakil kaum.
Dengan adanya kontrak sosial yang telah dipersetujui ini, banyak membantu dalam mencapai perpaduan di negara kita. Hal ini kerana, setiap dasar baru yang diperkenalkan mengambil kira perkara yang ada dalam perlembagaan.Dasar-dasar negara ataupun perancangan yang dibuat oleh pihak terlibat seperti Kabinet Menteri juga memerlukan perbincangan sebelum dasar tersebut diperkenalkan. Budaya ini dapat kita praktikan berdasarkan amalan demokrasi yang menjadi konsep pentadbiran negara kita. Konsep demokrasi ini juga menjadi budaya sebelum merdeka lagi. Contoh yang sangat ketara adalah semasa parti UMNO dan MCA yang bersama-sama menghadapi Pilihan Raya Bandaran ketika itu. Konsep pilihan raya menjadi pilihan untuk mendapat sejauh mana sesebuah parti politik itu mendapat sokongan daripada rakyat.
Dengan penjelasan yang diberikan ini, budaya dan juga kontrak sosial yang telah terjalinan antara kaum ketika awal penubuhan Malaysia boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam memperkenalkan dasar-dasar terbaru negara. Dengan adanya garis panduan ini dapat mengelakan dasar-dasar yang ingin diperkenalkan tidak mengikut hak-hak yang telah diperuntukan dalam perlembagaan. Selain daripada itu dapat mengekalkan kesepaduan antara kaum kerana masing-masing memahami garis panduan yang terkandung dalam perlembagaan.

      4.0 Peristiwa 13 Mei 1969
Tragedi 13 Mei ini merupakan satu peristiwa hitam yang pernah berlaku di negara kita. Peristiwa ini merupakan rusuhan kaum yang telah berlaku dalam kalangan kaum di Malaysia. Permasalahan kaum yang berlaku ini mempunyai hubungan dengan Pilihan Raya Umum 1969 yang menjadi titik kemuncak berlakunya rusuhan kaum secara besar-besaran. Isu ini melibatkan parti politik yang bertanding dalam Pilhan Raya Umum 1969. Keputusan pilihan raya tersebut sangat berbeza dengan pilihan raya sebelum di mana Parti Perikatan telah mengalami kekalahan besar. Parti Gerakan dan DAP yang majoritinya kaum Cina telah mencatat kemenangan. Kemenangan yang diperolehi ini memberikan rasa puas hati dalam kalangan ahli DAP. Tanda kegembiraan mereka ditunjukkan dengan menjalankan perarakan sambil menghina orang Melayu. Tindakan ini sememangnya mewujudkan kemarahan ke atas orang Melayu. Justeru, tindakan balas telah dilakukan oleh orang Melayu dengan mengadakan perarakan sebagai tanda protes terhadap tindakan DAP. Emosi yang tinggi dalam jiwa masyarakat Melayu mengeruhkan lagi keadaan ketika itu.

Setelah dikaji semula, terdapat faktor yang telah mempengaruhi  terjadinya rusuhan ini. Antaranya adalah dasar pecah perintah yang telah dilaksanakan oleh British. Dasar ini merupakan penempatan kaum mengikut ekonomi. Cara ini adalah untuk menjaga kepentingan British ketika itu. Selain itu, sistem pendidikan yang dikenalkan juga menjadi isu yang telah membawa berlakukanya rusuhan kaum ini.Sistem pendidikan yang diperkenalkan adalah berasingan. Antara aliran sekolah yang ada adalah aliran Inggeris, Melayu, India dan Cina. Berdasarkan aliran sekolah yang ada ini, kita dapat melihat bahawa sekolah yang telah diwujudkan ini berdasarkan kaum. Contohnya, kaum India akan bersekolah di sekolah aliran India. Berdasarkan dua isu ini, sudah cukup untuk melahirkan rasa persengkatan dalam jiwa mereka. Dasar British telah menyebabkan hubungan antara kaum renggang dan wujud rasa buruk sangka dalam diri mereka. Sistem pendidikan berbeza pula menyebabkan fahaman berbeza dan sikap perpaduan itu semakin terhakis. Justeru, perbalahan dalam kalangan pelbagai kaum mudah saja berlaku. Dan kemuncak perbalahan tersebut  adalah  peristiwa 13 Mei 1969 ini.
Rentetan daripada peristiwa ini, usaha damai telah dilakukan untuk menyelesaikan perbalahan kaum ini. Langkah utama adalah dengan mengisytiharkan darurat. Pengisytiharkan darurat ini serta merta memberi kuasa sepenuhnya kepada Agong dan pihak tentera. Selain daripada itu, integrasi kaum diperkenalkan dalam usaha menyatu padukan rakyat yang berbilang bangsa.Langkah yang seterusnya adalah menubuhkan Majlis Gerakan Negara yang terdiri daripada menteri-menteri dan juga pegawai. Mereka ini berperanan untuk merancang dan meneliti cara untuk mewujudkan kembali keamanan melalui perbincangan dan rundingan. Majlis Perundingan Negara turut diwujudkan bagi membincangkan isu perpaduan dan secara tidak langsung menjadi badan penasihat kepada MAGERAN. Penyusunan semula politik juga telah dilakukan. Langkah ini banyak memberikan kesedaran kepada semua parti politik yang ada pada ketika itu. Parti politik telah bersatu di bawah satu nama iaitu Barisan Nasional.

Berdasarkan sejarah mengenai Peristiwa 13 Mei ini, kita dapat memahami bagaimana perkara ini berlaku dan bagaimana langkah penyelesaian telah diambil. Semasa misi kemerdekaan, perkara utama yang menjadi kepentingan adala perpaduan antara kaum perlu dicapai. Perpaduan tersebut berjaya dicapai tetapi musnah pada tahun 1969. Kepentingan kontrak sosial dalam menyelesaikan isu ini adalah budaya perbincangan dan juga rundingan yang telah menjadi budaya para pemimpim yang berusaha untuk mencapai kata sepakat dalam sesuatu perkara. Walaupun semasa darurat perlembagaan telah digantung, namun perlembagaan yang sedia ada itu menjadi asas dalam menyelesaikan masalah. Beberapa perkara yang terkandung dalam pelembagaan yang telah dipinda mengikut kesesuaian dan perbincangan yang telah dilakukan oleh para pemimpim parti politik yang ada ketika itu.








5.0 Kesimpulan
Berdasarkan ulasan yang telah dijelaskan di atas, para pembaca mampu untuk memahami isu berkaitan dengan kontrak sosial ini. Pemahaman berkaitan dengan kontrak sosial ini sebenarnya perlu difahami oleh semua masyarakat supaya mereka tahu akan permulaan usaha kerjasama yang ada sekarang. Mereka yang tidak memahami akan kontrak sosial ini sewajarnya tidak mengkritik akan perkara yang ada dalam perlembagaan di negara. Hal ini kerana mereka tidak tahu akan sejarah permulaan kerjasama antara kaum dan rasional beberapa perkara yang terkandung dalam perlembagaan dipersetujui.
    
                 Sekarang ini, beberapa undang-undang dan dasar juga banyak diperkembangkan bagi menjaga keamanan politik di negara kita. Setiap perkara yang ingin dilaksanakan  mengikut cara yang betul. Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, nilai perpaduan yang ada dalam diri perlu dipertingkatkan supaya tidak menimbulkan sebarang permasalahan dalam pentadbiran negara kita dan secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai integrasi. Sesungguhnya, setiap perkara yang berlaku banyak memberikan kesedaran dan kebaikan kepada kita supaya tidak lagi mengulang kesilapan yang lalu. Justeru itu, sebagai masyarakat  yang hidup dalam berbilang kaum ini perlu berganding bahu mengekalkan kesepaduan masyarakat yang sedia ada ini.

No comments:

Post a Comment

Gunakan akal dan budi untuk menulis. Terima Kasih Tuan..

About Me

Followers