HOME

Sunday, January 6, 2013

Isu kalimah Allah: Dewan Ulama bercanggah pendapat dengan Mat Sabu



Kuala Lumpur: Dewan Ulama PAS tetap berpendirian bahawa penggunaan kalimah Allah hanya khusus untuk umat Islam, sekali gus bercanggah dengan pandangan Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu.
Pendirian itu juga bertentangan dengan pandangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh agama lain ketika berdialog di sebuah gereja di Prai, Pulau Pinang, dua tahun lalu.

Pendirian saya adalah sama seperti dulu iaitu penggunaan kalimah Allah adalah khusus untuk umat Islam,” Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS

Khusus untuk umat Islam Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, menegaskan agama lain termasuk Kristian tidak berhak menggunakan kalimah itu, apatah lagi dalam Bible versi bahasa Melayu.

Penggunaan kalimah hanya untuk umat Islam

“Pendirian saya adalah sama seperti dulu iaitu penggunaan kalimah Allah adalah khusus untuk umat Islam,” katanya kepada BH mengenai isu penggunaan kalimah Allah yang dibangkitkan semula Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, baru-baru ini.

Harun juga mengakui isu penggunaan kalimah Allah bukan lagi isu politik, tetapi membabitkan akidah umat Islam.
Harakah sebelum ini melaporkan Mohamad Sabu menyokong penggunaan kalimah Allah secara umum oleh penganut agama lain.

Mohamad Sabu dipetik sebagai berkata: “Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) telah memberi kenyataan pada 2010 untuk tidak melarang agama lain selain Islam untuk menggunakan nama Allah. PAS masih kekal dengan pendirian itu”.

Benar guna kalimah

Mujahid dalam sesi dialog di sebuah gereja, pula didakwa berkata, beliau tiada masalah dengan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah kerana Allah membenarkan ia diguna bagi mereka yang bukan beragama Islam.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam perutusan sempena Hari Krismas, bulan lalu, menggesa Kerajaan Pusat membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Ditanya mengenai pandangan pemimpin PAS yang menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama lain, termasuk Mohamad Sabu, Harun berkata, mungkin mereka merasa lebih tinggi dari kepemimpinan ulama dalam parti.

Sebelum ini, Harun pernah dilaporkan berkata, kalimah Allah hanya untuk Tuhan umat Islam, manakala dalam Kristian terdapat Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan roh kudus, selain Nabi Isa disebut sebagai anak Tuhan.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin mendesak Majlis Syura Ulama PAS menetapkan pendiriannya berhubung isu kalimah Allah bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

Bukan sekadar isu politik

Beliau berkata, isu kalimah Allah bukan sekadar isu politik dan sepatutnya dibincangkan Majlis Syura yang dianggotai ulama, bukannya pada peringkat Lajnah Politik Jawatankuasa PAS Pusat.

“Sejak isu ditimbulkan 2010, saya lihat Majlis Syura tidak mengeluarkan apa-apa pendapat mengenai isu ini. Ini melibatkan akidah dan agama. Majlis Syura perlu bincang segera untuk menghentikan spekulasi dan mententeramkan ahli PAS serta umat Islam,” katanya di sini, semalam.

Mohamed Hafiz berkata, tindakan beberapa pihak, termasuk Mohamad Sabu dan Mujahid yang bukan pakar agama tetapi mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu hanya mengeruhkan keadaan dan mengelirukan.

No comments:

Post a Comment

Gunakan akal dan budi untuk menulis. Terima Kasih Tuan..

About Me

Followers