Pemuda Umno mesti
menjadikan Perhimpunan Agung Umno 2012 sebagai landasan untuk meledakkan
semangat perang berjuang habis-habisan bagi memenangi minda dan hati
pengundi muda serta pemilih atas pagar dalam pilihan raya umum akan
datang.
Bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13), yang akan diadakan
bila-bila masa sahaja, anggota perwakilan Pemuda Umno seharusnya dapat
mencambah fikiran untuk merangka dan memperkasa strategi, sekaligus
menterjemahkan sokongan generasi muda kepada Umno dan Barisan Nasional
(BN).
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tegas mengingatkan para
perwakilan perhimpunan sayap Pemuda Umno nanti agar membekalkan diri
dengan hujah yang akan disampaikan pemimpin dan mesej kepada rakyat.
"Hujah ini kekuatan kepada kita (Pemuda) dan perlu kita bawa balik ke
kawasan masing-masing bagi kita sebarkan kepada rakyat. Ini pentas
keramat, saya beri kebebasan (berbahas) jadi mereka perlu beri cadangan
yang bernas dan jangan terlalu beretorik.
"Kita (Pemuda) harus menggunakan peluang ini untuk memberitahu dunia
luar bahawa Perhimpunan Agung Umno bukan untuk ahli kita atau perwakilan
sahaja tetapi tujuannya untuk menghantar mesej dan isyarat yang jelas
kepada rakyat iaitu Umno komited untuk berkhidmat demi rakyat," katanya
kepada Bernama.
Perhimpunan Umno akan dimulakan dengan Persidangan Pergerakan Pemuda,
Wanita dan Puteri esok di Pusat Dagangan Dunia Putra. Setiap sayap akan
diwakili 991 anggota, manakala Perhimpunan Agung Umno Khamis ini akan
mengumpulkan 2,759
anggota yang akan bersidang sehingga 1 Disember.
Seperti sayap Umno lain yang memberi fokus agenda utama perhimpunan
agung berbincang mengenai persiapan akhir menghadapi PRU-13, Khairy mahu
kira-kira 700,000 anggota Pemuda Umno memainkan peranan lebih besar
menjelang pilihan raya umum dan tidak hanya berada di takuk lama sebagai
pemasang bendera, penggantung poster dan juga penjaga keselamatan.
"Pemuda mampu memainkan peranan lebih besar khususnya dalam konteks
perang minda yakni menawan minda dan hati rakyat. Bagi saya itu lebih
penting daripada melakukan kerja-kerja rutin.
"Selain itu tidak kekok saya katakan Pemuda perlu memainkan peranan
sebagai peraih undi bersama sayap Wanita serta Puteri yang pergi rumah
ke rumah, ada juga rumah yang mana penghuninya orang muda, jadi lebih
sesuai Pemuda berada di sana," kata Khairy.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata generasi muda mesti tahu apakah
implikasi pilihan mereka pada PRU-13 terhadap masa depan negara dan
bahawa senario inilah pilihan yang terpaksa mereka hadapi.
Khairy berkata, ada pihak yang berpendapat bahawa pengundi muda
merupakan faktor penentu kepada PRU-13 disebabkan sifat atas pagar dan
sokongan mereka lebih mudah dilentur berbanding penyokong tegar sesebuah
parti yang telah diketahui arah sokongan mereka.
"Sokongan yang mudah dilentur itu juga menjadi faktor mengapa
pengundi muda harus diberikan tumpuan daripada meletakkan harapan yang
tinggi kepada mereka yang telah 'buta hati' terhadap jasa dan bakti
Umno.
"Mereka yang buta hati terhadap kebaikan yang dibawa Umno saya
ketepikan kerana tidak ada hujah yang boleh memenangi hati mereka.
Majoriti orang muda yang termasuk dalam kelompok atas pagar dan mereka
yang boleh diberi keyakinan
akan menjadi sasaran," katanya.
Khairy berkata senjata terpenting dalam memenangi hati pengundi ialah hujah yang tepat dan berkesan, bukan retorik semata-mata.
Penggunaan media baharu seperti Twitter, Facebook dan portal berita
merupakan antara cara terbaik meraih sokongan pengundi muda kerana lebih
80 peratus daripada pengundi di bawah umur 40 tahun itu mendapat
maklumat terkini daripada media digital.
"Apa yang menarik mengenai media baharu dan pengundi ini ialah adanya
informasi sumber orang ramai dalam satu tempat dan informasi ini bukan
informasi jenis satu hala seperti dalam media arus perdana. Inilah yang
kita perlu gunakan sepenuhnya bagi menarik sokongan generasi muda yang
berada atas pagar sokong kita.
"Buat permulaan jangan sama sekali kita tapis media baharu ini. Bila
satu isu mengenai kita muncul pada media itu, kita perlu balas kembali
dengan fakta yang relevan dan berhujahlah pertahankan kes kita dan kita
perlu lakukan ini dengan pantas kerana pusingan media ini kurang lima
minit berbanding arus perdana kira-kira 24 jam," katanya.
Selain menggunakan media baharu, Khairy berkata, kerajaan dan Pemuda
Umno mengambil langkah turun padang dan mendengar secara langsung apa
yang ingin diperkatakan pengundi muda, kerana era kerajaan tahu apa yang
terbaik untuk
rakyat, telah berakhir.
"Bukan lagi masanya untuk berteka teki. Kita mesti tahu apa yang
diperlukan oleh generasi ini dengan penglibatan bersama generasi ini.
Kita dengar apa mereka kata dan mahu kemudian laksanakan, kita tidak
sesekali dengar sahaja," katanya.
Hasilnya, kata Khairy, berlakulah transformasi berlandaskan 'politik
khidmat bakti' Pemuda Umno bangkit membantu generasi muda menerusi
pelbagai program seperti Pameran Kerjaya Pemuda BN yang disasarkan untuk
mengatasi isu
kebolehpasaran pekerjaan rakyat bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan tinggi.
Jahanaem negara.
ReplyDelete