HOME

Monday, January 18, 2010

Belia Berwawasan Penggerak Kemajuan

KITA sering mendengar bahawa belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak dan

kekuatan masa depan negara. Kita juga sedar bahawa belia juga adalah pewaris kepimpinan

negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

Namun persoalannya adakah belia sendiri memahami akan tanggungjawab dan fungsi mereka

terhadap pembangunan dan penggerak kemajuan negara? Adakah zaman muda remaja dan

belia negara kita dipenuhi dengan aspirasi untuk menjadi belia yang berwawasan dan proaktif?

Sumbangan belia terhadap kemajuan negara

Belia ditakrif sebagai golongan yang berusia di antara 15-40 tahun. Di Malaysia, golongan belia

mewakili kira-kira 45 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia. Suatu jumlah yang tidak boleh

dipandang remeh dan harus diberikan perhatian oleh semua pihak, terutama sekali dalam

usaha pembangunan dan pengurusan belia.

Kamus Dewan mendefinisi perkataan wawasan pula sebagai sesuatu pandangan atau konsepsi

berkaitan sesuatu perkara. Orang yang berwawasan boleh dikatakan sebagai orang yang

mempunyai visi dan misi serta mempunyai pelan-pelan tindakan dan strategi dalam memajukan

diri.

Orang yang berwawasan juga mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang tinggi dalam

membangun potensi diri dan orang lain.

Amat menyedihkan apabila golongan belia dan remaja sering dikaitkan dengan fenomena yang

kurang baik. Dewasa ini kita disogokkan dengan cerita-cerita negatif yang melanda golongan ini

sehinggakan kita sering tertanya-tanya akan puncanya.

Kemajuan dan pembangunan seringkali dijadikan sebagai alasan kepada tindak-tanduk yang

kurang bermoral dan telah mendorong kepada perubahan drastik kepada institusi keluarga,

masyarakat dan negara.

Kemajuan telah menjadikan taraf hidup semakin meningkat, keperluan keluarga semakin

bertambah dan individu semakin bersaing untuk menjadi hebat.

Ada yang berjaya menjalani kehidupan dengan lancar, namun ada juga yang tidak dapat

menongkah arus yang pesat ini lalu rebah dengan pengaruh yang kurang elok.

Pun begitu, Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan. Malah, Islam amat menggalakkan

umatnya berusaha untuk mempertingkatkan diri dan umat asalkan tidak tercicir daripada

landasan syariat.

Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan

diredai Allah SWT. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan

iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.

Adalah lumrah dan fitrah untuk mencari harta dan kesenangan di waktu muda belia kerana itu

adalah keperluan hidup. Namun peranan belia hari ini bukan sekadar meningkatkan kerjaya diri

dan mencari kesenangan harta, tetapi juga berusaha membangunkan negara ke landasan yang

seimbang dan maju dalam acuan kita sendiri.

Ketangkasan berfikir dan kesihatan yang sangat optimum di zaman belia harus dimanfaatkan

ke jalan yang benar dan berintegriti.

Sesebuah negara yang merdeka memerlukan setiap warganegaranya bersifat patuh dan taat

terhadap program-program yang diatur yang memberi manfaat untuk membangunkan negara

dalam semua bidang.

Kepatuhan terhadap membangunkan kualiti modal insan yang berkualiti menjadi pra syarat

kepada pembangunan negara itu sendiri. Tanpa kualiti ilmu dan akhlak yang baik, tidak

mungkin acuan pembangunan negara akan berjalan atas landasan yang seimbang.

Belia yang berjiwa kekhalifahan akan sentiasa mempunyai jiwa yang mempunyai kesedaran

yang mendalam bahawa pengurusan itu adalah suatu amanah dan dikaitkan dengan ibadah

dan barakah.

Jiwa kekhalifahan yang ditunjangi dengan jiwa kehambaan yang tinggi akan memerdekakan

negara daripada kejahilan dan kemunduran dan ianya bakal membina negara kita ke arah

negara yang maju dalam acuan kita sendiri.

Acuan sendiri haruslah tidak menolak faktor-faktor luar yang sifatnya bermanfaat dan dalam

masa yang sama, faktor keislaman dapat dicemerlangkan.

Oleh itu para belia harus insaf dan sedar bahawa pembangunan potensi diri menjadikan belia

berwawasan adalah suatu perkara yang amat penting dalam menjana kemajuan negara. Belia

yang berketerampilan dan berwawasan pada dasarnya mempunyai kemahuan yang tinggi yang

tidak mampu digugat sebarang kelemahan, sedia berkorban serta memahami prinsip

kebenaran, meyakininya dan menghormatinya.

Merenung peranan belia di zaman Rasulullah, tidak dapat dinafikan bahawa belia menjadi

tonggak utama perjuangan Rasulullah.

Dalam sejarah perkembangan Islam, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah,

Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para

sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus

perdana perubahan masyarakat.

Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan

ajaran Allah di muka bumi ini.

Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18

tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga dengan

kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21

tahun.

Oleh itu terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian semua pihak agar potensi

golongan belia dapat dibangunkan secara menyeluruh dan sistematik.

Pertamanya, golongan belia harus dibangun dengan nilai-nilai Islami dan murni. Minda

golongan belia dan remaja amat terdedah kepada pengaruh baru.

Pendekatan Barat misalnya tidak semuanya selari dengan apa yang diperlukan dalam hidup.

Namun harus diingatkan bahawa Barat tidak harus ditolak secara mutlak, tetapi proses

pembaratan harus diwaspadai.

Tanpa asas agama dan nilai murni, watak belia dan remaja terutamanya remaja Islam akan

mengalami ketirisan.

Keduanya, memperkukuh pendidikan secara integrasi supaya adanya kesepaduan antara ilmu

fardu ain dan fardu kifayah. Mempelajari asas agama adalah suatu kewajipan yang penting, dan

kita sedar akan pentingnya menuntut ilmu yang kifayah.

Tetapi dalam mendepani arus globalisasi yang semakin menghimpit umat Islam, menuntut ilmu

dan memajukan diri telah menjadi suatu kewajipan demi mempertahankan agama dan umat.

Pendidikan yang bersepadu yang menggabungkan kepentingan menuntut ilmu ukhrawi dan

duniawi adalah amat penting supaya kehidupan umat Islam bertambah lebih baik dan dalam

masa yang sama ajaran Islam tidak dipinggirkan.

Seterusnya, pembangunan belia harus dijana melalui pembangunan modal insan yang

berkualiti dan seimbang. Ini amat signifikan dalam usaha menjana pembangunan negara

bangsa dan cita-cita agama.

Program-program yang dianjurkan haruslah melibatkan semua pihak dan didasari dengan

objektif yang berguna dan bermanfaat.

Badan-badan belia dan pertubuhan remaja wajar diberi peluang yang luas untuk mendedahkan

aktiviti mereka kepada umum untuk menarik perhatian golongan remaja dan belia.

Kerjasama antara badan-badan pertubuhan juga amat penting supaya potensi golongan belia

dan remaja dapat dibimbing dan disalurkan ke jalan yang betul.

Keempat, mengekang pengaruh budaya popular dan pendekatan secara hedonistik. Tidak

dapat dinafikan bahawa pengaruh hedonistik menjadi cabaran kepada gaya dan cara

kehidupan pada zaman ini.

Media cetak dan elektronik perlu menunjukkan contoh yang baik dan menampilkan laporan

yang lebih bersifat membina daripada bersifat memusnah.

Rencana-rencana yang memberi inspirasi, bersifat intelektual dan membina minda harus disaji

kepada minda golongan belia dan remaja dengan harapan agar ia dapat membina golongan

belia yang berwawasan dan berpandangan jauh.

Kelima, melibatkan golongan belia dan remaja dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Bidang keusahawan menjanjikan peluang dan rezeki yang amat luas untuk golongan belia.

Selain daripada menjanjikan keuntungan yang tinggi, bidang ini menjana golongan belia supaya

berfikiran lebih positif, berwawasan, kreatif, dan cekal.

Kemahiran kendiri (soft skills) juga dapat dibangunkan dengan baik. Rasulullah SAW di zaman

belianya juga adalah seorang peniaga yang amat handal dan bijak. Justeru, amat wajar belia

diberi peluang yang luas dalam bidang ini kerana ia bukan sahaja untuk keuntungan sendiri,

malah juga membantu meningkatkan ekonomi negara dan umat secara seluruhnya.

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilakukan dalam pembangunan belia. Namun ia

memerlukan tanggungjawab dan usaha semua pihak dalam menjayakannya.

Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai penggerak kemajuan negara, golongan belia

perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang

unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.

Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka

akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama

dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.

1 comment:

Gunakan akal dan budi untuk menulis. Terima Kasih Tuan..

About Me

Followers