Monday, May 30, 2011
Gerard Pique ke konsert Shakira meraikan kemenangan
BARCELONA: Lebih 100,000 penyokong membanjiri jalanan sekitar Barcelona sambil melaungkan 'Juara, juara', selepas Barca menundukkan Manchester United 3-1, sekali gus menjulang gelaran Liga Juara-juara, awal pagi semalam.
Dianggarkan 35,000 penyokong hadir memberi sokongan di pusat bandar Triumphal Arch, dengan menonton siaran langsung saingan penentuan di Stadium Wembley, London.
Mereka berteriak gembira, melepaskan bunga api dan menjulang replika trofi kemenangan meraikan gol pertama disumbang Pedro Rodriguez, disusuli gol Lionel Messi dan David Villa yang memastikan kemenangan.
Seluruh bandar meraikan kemenangan gamat dengan bunyian hon kenderaan dan trumpet, sejurus selepas wiset penamat. Malah, mereka turut membakar bunga api dan mercun di balkoni rumah masing-masing.
Penyokong melaungkan 'Barca! Barca!' dengan lengkap mengenakan jersi pasukan Barcelona dan mengibarkan bendera.
Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique meraikan pasukannya di laman sosial Twitter dan berkata, mereka akan ke konsert penyanyi popular, Shakira yang juga teman wanitanya.
“Juara, Juara! Terima kasih yang tidak terhingga. Esok di Barcelona dan kita akan meraikannya di konsert Shakira, di Stadium Olimpik,” katanya yang dipetik di Twitter.
Pique yang juga bekas pemain Manchester United, berkenalan dengan Shakira tahun lalu ketika turut serta dalam penggambaran klip video penyanyi itu, 'Waka Waka (This Time for Africa)', iaitu lagu rasmi pusingan akhir Piala Dunia 2010 yang menyaksikan Sepanyol bergelar juara.
Sementara itu, di sekitar kawasan kelab malam Paralelo, penyokong membanjiri setiap bar dan menonton siaran langsung yang disiarkan di kaca televisyen.
Sejurus saingan tamat, mereka berlari ke pusat bandar, menuju ke air pancut Canaletas, iaitu lokasi kebiasaan buat penyokong Barcelona meraikan kemenangan terbesar mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Gunakan akal dan budi untuk menulis. Terima Kasih Tuan..