HOME

Monday, October 3, 2011

Wajarkan Penghakupayaan Belia-Sayangi Belia, Belia Penggerak Wawasan

http://umno-online.com/wp-content/uploads/2009/05/belia-berwawasan-penggerak-kejayaan.jpg



  PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memahami belia. Kerana itu, beliau menggunakan pendekatan "penghakupayaan belia" (youth empowerment) dalam penggubalan dasar dan program belia. Beliau mendengar suara belia dalam proses tersebut melalui pelbagai bentuk partisipasi, seperti makmal, pameran, media sosial, pertemuan dan sebagainya.


Contohnya, beliau menerjemahkan resolusi Makmal Pemuda BN, seperti skim perumahan pertama dan tabung belia 1Malaysia, menjadi program baru kerajaan.
Sabtu lalu, beliau mengiktiraf Makmal Transformasi Pembangunan Belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan, dengan mengumumkan cadangannya menjadi program baru, iaitu Parlimen Belia, taman belia, portal belia, ikon belia, sukarelawan belia dan mentor keusahawanan belia.

Datuk Seri Najib telah melakukannya. Persoalannya ialah sejauh manakah kita yang di bawah ini, iaitu di peringkat pelaksanaan kerajaan/institusi, benar-benar mengamalkan penghakupayaan belia dalam merealisasikan program-program tersebut serta dalam program-program belia (termasuk mahasiswa dan pelajar) yang lain?

Saya timbulkan persoalan ini kerana, walaupun penghakupayaan tercatat dalam Dasar Pembangunan Belia Negara dan pelbagai dasar yang lain, tetapi, pelaksanaannya masih tidak memuaskan. Sebab utamanya kerana sebahagian daripada kita tidak menghayati makna penghakupayaan belia itu sendiri.

Masalah pertamanya ialah apabila istilah bahasa Inggeris empowerment diterjemahkan ke bahasa Melayu sebagai "pengupayaan". Ketika saya menerjemahkannya pada tahun 1996, tidak ada istilah bahasa Melayu yang tepat. "Pengupayaan" tidak tepat. Justeru, saya mencipta istilah "penghakupayaan".

Definisi penghakupayaan belia ialah "membolehkan dan mendapatkan belia untuk berfikir dan bertindak atas semua isu (peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala yang di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya".

Ini memerlukan kerajaan/institusi membolehkan dan mendapatkan perwakilan belia terlibat dalam struktur dan proses membuat keputusan yang melibatkan mereka.

Penghakupayaan berada dalam satu kontinum, iaitu: "dari peluang kepada hak" dan "dari perundingan tidak formal kepada keterlibatan secara berstruktur dan formal dalam proses membuat keputusan". Perspektif ini meliputi konsep-konsep lain seperti "menjana kapasiti", "hak asasi", "tanggungjawab", "autonomi", "pembangunan partisipatif" dan sebagainya.

Penghakupayaan mula-mulanya digunakan sebagai istilah politik oleh aktivis mahasiswa Amerika Syarikat (AS). Kemudian, ia menjadi istilah perniagaan yang popular. Ia satu gaya pengurusan. Ia bermakna kuasa orang bawahan untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan.

Hari ini, telah terbukti bahawa kaki tangan yang terhakupaya dalam apa-apa organisasi adalah lebih produktif dan efektif. Ini kerana penghakupayaan mengizinkan keputusan dibuat lebih cepat dan tepat oleh kaki tangan yang mempunyai kefahaman yang lebih terhadap kehendak pelanggan, kerana rapat dengannya, berbanding pegawai atasan yang tidak rapat dengan pelanggan.

Penghakupayaan menawarkan potensi untuk meraih takungan kapasiti sumber manusia yang selama ini tidak digunakan sepenuhnya, yang semestinya dioptimumkan sekiranya sesebuah organisasi dan negara ingin benar-benar maju.

Kini, setelah sekian lama dipopularkan, penghakupayaan belia mula disebut ramai. Tetapi, ramai masih tidak pasti dengan maknanya yang sebenar. Malahan telah timbul beberapa kekeliruan terhadap maknanya. Di antara kekeliruan tersebut ialah:

n Memberikan tugasan kerajaan/institusi kepada belia. Ini lambakan.
n Melantik belia sebagai wakil kerajaan/institusi. Ini delegasi.
n Menyerahkan kuasa kerajaan/institusi kepada belia tanpa had atau tanggungjawab. Ini anarki.
n Mengundang belia untuk membantu membuat keputusan kerajaan/institusi. Ini pengurusan partisipatif.
n Kerajaan/institusi menggunakan belia untuk memajukan sesuatu program atau objektif tanpa belia mengetahui tentang apa yang disertainya. Ini manipulasi.
n Belia terlibat tetapi tidak dapat membuat keputusan tentang tujuan, cara atau tahap keterlibatannya itu. Ini tokenisme.
n Belia dilibatkan untuk menjustifikasikan sesuatu program itu adalah program belia. Ini kosmetik.
Sebab itulah penghakupayaan belia yang sebenar perlu difahami. Penghakupayaan belia bukan bermakna memberikan kuasa kepada mereka. Sebaliknya, ia adalah proses menyalurkan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang telah sedia dimilikinya.

Dalam mengamalkan penghakupayaan belia, semua individu dan organisasi yang berkaitan perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dari segi cara berfikir dan berbuat. Struktur dan hirarki yang wujud perlu dinipiskan. Ini akan melibatkan penyesuaian dalam sekurang-kurangnya tiga aspek.
Pertama, peraturan membuat keputusan diubah.

Keputusan ditarik ke bawah sehingga ke tahap tindakan. Kedua, deskripsi tugasan diperluaskan dan setiap yang terlibat menjadi multi-trampil dan mampu membuat keputusan apabila berurusan dengan rakan/pelanggan. Dan ketiga, komunikasi yang formal dan berlapis-lapis digantikan oleh jaringan komunikasi yang fleksibel dengan bantuan ICT.

Peranan kerajaan/institusi perlu berubah. Organisasi yang terhakupaya meletakkan sumber manusianya dalam pasukan-pasukan kerja dan tidak lagi mengikut fungsi-fungsi yang rigid. Pasukan-pasukan ini didorong oleh matlamat, bukan oleh arahan; dan ketua tidak lagi mengawas, tetapi mengenal pasti mereka yang mampu menjalankan tugas dan membenarkan mereka menjalankannya mengikut budi bicaranya. Ketua berubah menjadi fasilitator.

Ini tidak bermakna yang peranan kerajaan/institusi akan hilang sebaik sahaja penghakupayaan belia dijalankan. Tetapi, cara-cara tradisional yang "dari atas ke bawah", "memaksa ketaatan", "mengekalkan conformity" dan "menghukum apabila silap" perlu ditamatkan.

Governans cara lama menggunakan kerajaan/institusi sebagai paksi. Andaiannya ialah belia tidak mampu berfikir untuk dirinya atau negara. Lantas mereka hanya diminta (baca: diarah) untuk sekadar menjadi pengikut dasar dan peserta program semata-mata.

Andaian ini tidak lagi relevan dan konsisten dengan pengalaman kontemporari. Penghakupayaan tidak menggunakan kerajaan/institusi sebagai paksi. Ia mempunyai andaian baru, iaitu belia memiliki kemampuan berfikir untuk dirinya dan negara.

Belia hari ini mempunyai pengalaman yang amat berbeza daripada apa-apa yang dialami oleh kerajaan/institusi. Mereka yang tidak memahaminya bersungut bahawa sebahagian belia kurang berminat dengan, contohnya, politik dan program kerajaan.
Sebenarnya, belia melihatnya sebagai tidak relevan, tidak menggamit imaginasi atau tidak memenuhi citarasa mereka.

Kini, ramai belia mempunyai aspirasi yang telah melampaui apa yang kita fikirkan. Jika kita tidak menyelami minda mereka, kita akan rugi kerana akan ketinggalan zaman. Jika kita halang percambahan minda mereka, kita akan rugi kerana mereka akan meninggalkan kita.

Justeru, kita perlu melihat, menerima dan mengiktiraf belia dengan pendekatan baru, iaitu penghakupayaan belia, dalam ertikatanya yang sebenar

No comments:

Post a Comment

Gunakan akal dan budi untuk menulis. Terima Kasih Tuan..

About Me

Followers