HOME

Monday, September 26, 2011

KEBERKESANAN ISYARAT TANGAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KEMAHIRAN NYANYIAN SEMERTA

KEBERKESANAN ISYARAT TANGAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KEMAHIRAN NYANYIAN SEMERTA
OLEH: SAGIM SUAR 

ABSTRAK
Muzik merupakan satu budaya seni yang harus diasuh dan dibimbing ke arah yang lebih sesuai dengan budaya dan nilai masyuarakat tempatan. Kejayaan usaha ini hanya akan berjaya dengan adanya kaedah-kaedah penyampaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Kajian ini telah berjaya mengesan keberkesanan Isyarat Tangan dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran Nyanyian Semerta. Seramai enam puluh orang guru pelatih Elektif Muzik di Maktab Perguruan Rajang telah diambil sebagai respondan kajian ini. Mereka dibahagi kepada dua kumpulan; iaitu kumpulan Kawalan dan kumpulan Eksperimen. Kumpulan Eksperimen diajar nyanyian semerta dengan bimbingan Isyarat Tangan selama enam minggu dalam kuliah sebanyak dua belas jam. Hasil analisis ANCOVA dengan nilai F-RATIO =22.94 signifikan pada paras P < .01 menunjukkan bahawa pengajaran dan pembelajaran kemahiran Nyanyian Semerta yang dibantu dengan Isyarat Tangan, adalah lebih berkesan daripada pengajaran dan pembelajaran kemahiran Nyanyian Semerta yang diajar tanpa menggunakan bantuan Isyarat Tangan.

PENGENALAN
Isyarat Tangan sebagai bantuan kepada pengajaran dan pembelajaran Nanyian Semerta, adalah berdasarkan idea John Curwen. Sejak itu ianya telah berkembangan melalui banyak penyesuaian dan perubahan. Kegunaannya agak meluas lebih-lebih lagi di Hungary dan dalam sistem-sistem pendidikan muzik di tempat-tempat lain yang menggunakan kaedah Kodaly. Ianya mudah digunakan untuk membantu dalam bacaan skor muzik yang ditulis dalam berbaga-bagai skel seperti skel penta tonik, skel major dan skel minor.
RASIONAL KAJIAN
Adakah bidang Muzik benar-benar bermakna dan menguntungkan sehinggakan pendidikannya bukan sehaja dimestikan, tetapi keberkesanan pengajaran dan pembelajarannya dipastikan dan diselidik secara sistematik dan saintifik? Pengikut falsafah utilitarianism mungkin akan turut meminta penjelasan tentang kegunaan muzik dalam kehidupan seharian mereka. Dalam ucapannya sempurna hari kemerdekaan pada 31.8.1996, Perdana Menteri Malaysia menyeru kepada semua pihak yang berkuasa di instituisi-institusi tinggi di Malaysia, supaya menawarkan kursus-kursus yang benar-benar berguna dan menguntungkan.
Sebelum menjawab soalan-soalan di atas elok sekiranya kefahaman tentang muzik diterokai terlebih dahulu secara ringkas melalui sejarah, pandangan falsafah dan evolusinya dalam otak dan minda manusia.
Permulaan sejarah muzik adalah sesuatu yang amat rumit untuk dikesan sebab perkembangannya yang berkait rapat dengan perkembangan kebudayaan dan cara-cara manusia berfikir. Walaubagaimanapun ianyan boleh dilihat dari segi perkembangan alat muzik yang sering digunakan dalam berbagai-bagai upacara ritual dan perayaan-perayaan penting yang dirayai oleh berbagai-bagai masyarakat di seluruh dunia. Upacara-upacara tersebut kerap melibatkan aktiviti muzik seperti chanting, gerakkan dan permainan alat-alat muzik. Alat Muzik, dram umpamanya, telahpun digunakan sejak 6000 sm. - Microsoft, Encarta 1995. Alat muzik Lyre telah digunakan di Sumeria pada 2800 sm. Pada zaman klasik (450-325). Masyarakat Yunani telah mengadakan pertandingan vokal dan permainan alat muzik sebagai satu aktiviti perayaan tahunan. Sejak itu perkembangan muzik semakin meningkat. Kefahamannya semakin mendalam dengan alat-alatnya yang semakin bertambah lagi canggih. Kemahiran muzik pada 2800 sm dalam masyarakat Sumeria mungkin dipelajari hanya dengan cara meniru, dalam keadaan yang serba kekurangan. Keadaan dan suasana masa itu sudah tentunya amat berbeza jika dibandingkan dengan zaman sekarang, di mana muzik ditulis dan diajar dalam keadaan dan cara yang jauh lebih sistematik dan saintifik.
Dari segi pandangan falsafah pula, muzik telah mempunyai tempat yang penting dalam falsafah Pythagoreanism. Pythagoras, ahli falsafah Yunani, telah menjumpai teori matematik dalam pic muzik dan seterusnya membuat inference bahawa pergerakkan planet dapat menghasilkan muzik yang di namakan sebagai music of the spheres. Ekoran dari kepercayaan itu pengikut Pythagoras mengunakan muzik sebagai satu therapy untuk mewujudkan keharmonian di antara manusia dengan alam semester.
Evolusi muzik boleh dibincang melalui Teori otak kiri, otak kanan dan the seven thinking skill - oleh Edward Debono. Muzik mempunyai pengaruh yang amat ketara dalam cara-cara manusia berfikir. Kewujudan kecenderongan Muzik pada minda setiap individu yang normal bukanlah satu ciptaan secara tiba-tiba. Sebaliknya ianya adalah hasil daripada proses evolusi yang sekian lama. Mengikut teori Natural Selection bersama dengan Mutasi (changers in the position of a gene) dan Genetic Drift, penyesuaian sesuatu organisma untuk terun berketerampilan dengan situasi semasanya, terus berlaku secara perlahan dan kadangkalanya mengambil masa beribu-ribu tahun. Melalui proses yang sama, perkembangan kecenderongan muzik dalam minda seseorang sudah tentu akan kekal dan terus berkembang maju; mungkin selama-lamanya.
Perbincangan di atas, yang mengaitkan muzik dengan sejarah, falsafah dan evolvsi, sedikit sebanyak telah memberi pandangan yang menunjukkan bahawa muzik bukan sehaja telah wujud dan berkembangan secara berterusan, bahkan ianya juga telah wujud secara semulajadi dan telah mengiringi perkembangan budaya masyarakat di seluruh dunia supaya terus berkekalan dan berkembang maju. Muzik, sebagai sesuatu seni yang tidak dapat diketepikan, seharusnya dinilai dan dihargai dari segi keupayaannya mengekal dan membangunkan budaya sesebuah masyarakat yang ingin mengambil tempat yang sama penting dan unik di permukaan bumi ini.
Adakah wajar sekiranya sesuatu yang wujud dan amat berpengaruh dalam pemikiran dan budaya masyarakat, diabaikan dan dibiarkan begitu sahaja? Adakah seseorang individu berupaya untuk tidak mempedulikan dan melupakan sahaja sesuatu yang wujud secara semulajadi dalam otaknya? Wajarkah bagi sesebuah masyarakat membiarkan sahaja aktiviti muzik kepada orang-orang yang rela, sedangkan muzik mumpunyai pengaruh dan tempat yang penting dalam minda setiap individu? Tentunya tidak. Kalau ia pun, sudah tentu muzik akan menjelma juga; tetapi dalam bentuk yang serba kekurangan, mencerminkan berbagai-bagai unsur, termasuk unsur-unsur sumbang dan asing kepada nilai dan norma masyarakat.
Kewujudan kecenderungan muzik dalam minda seseorang individu menyebabkan ianya amat berpengaruh terhadap cara-cara seseorang individu berfikir. Malangnya, pengaruh muzik tidak semestinya seiring dengan budaya dan nilai masyarakat. Bagaimana pula jika muzik dijadikan alat yang menyemarakkan kegiatan yang sumbang? Bolehkah mereka yang rela itu dipersalahkan, sedangkan mereka tidak dibimbing dan diberi tunjukajar terlebih dahulu?
Kepentingan pendidikan muzik mungkin kurang jelas jika dilihat dari segi kegunaan dan kepentingan yang berbentuk materialistic. Sebaliknya muzik perlu dilihat dari segi pengaruhnya yang amat kuat dalam kehidupan seseorang individu dalam sesebuah masyarakat. Sesebuah masyarakat sebenarnya tidak mempunyai pilihan melainkan memberi pendidikan muzik yang berkesan dan bermakna. Muzik yang mempunyai unnsur-unsur negatif sememangnya sukar untuk dikawal, tetapi rakyat yang mempunyai Pendidikan muzik yang berkesan dan bermakna akan mempunyai kesedaran dan keupayaan untuk memilih dan menggunakan muzik ke arah yang lebih bermakna, menguntungkan dan scocok dengan nilai-nilai masyarakatnya.
Muzik yang sempurna dan bertujuan mulia bukanlah hasil bakat yang terpendam dan terbiar. Begitu juga dengan muzik yang dapat menyemarakkan lagi perpaduan rakyat dan semangat patriotisma. Peranan dan kegunaan muzik kepada individu dan masyarakat jelas terbukti sejak permulaan zaman sehinga ke kini.
Soalan-soalan di atas, yang meminta penjelasan samada muzik mempunyai peranan dan fungsi yang sama penting dalam kehidupan seharian sesorang insan, termasuk pengikut-pengikut falsafah utilitarianism, sepatutnya tidak timbul samasekali. Yang perlu diminta ialah tentang kurikulum muzik yang baik, fokus aktiviti-aktiviti muzik yang lebih bermakna dan kaedah pengajaran dan pembelajaran muzik yang lebih berkesan.
Kurikulum yang baik adalah sesuatu yang amat rumit untuk dibentuk. Tambah pula dengan kekurangan tokoh dalam bidang ini. Kebanyakkan negara menyelesaikan masalah ini dengan mengambil idea-idea yang sedia ada dan menyesuaikannya dengan sistem pendidikan mereka sendiri. Kurikulum muzik di Hungary, yang dipengaruhi oleh Kodaly, Zoltan (1882 - 1967) mempunyai fokus yang amat bermakna dan bererti kepada budaya rakyatnya. Beliau mementingkan aktiviti nyanyian yang mengguakan lagu-lagu rakyat yang bermutu tinggi sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran. Kejayaan kaedah Kodaly terbukti apabila negara-negara lain, termasuk Amerika Syarikat, menyerap dan menyesuaikanny ke dalam sistem persekolahan mereka sendiri.
Kaedah Kodaly yang mementingkan bidang nyanyian menggunakan lagu rakyat sebagai bahan utama dalam pengajaran dan pembelajarannya. Bidang nyanyian sememangnya mudah lagi praktikal. Ianya amat sesuai untuk diserapkan kedalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.
Kemahiran nyanyian boleh dikuasai melalu berbagai-bagai aktiviti latihahan. Satu daripada aktiviti latihan berkenaan ialah aktiviti latihan isyarat tangan. Isyarat tangan bukanlah perkara yang baru dalam pendidikan muzik. Ramai pensyarah muzik di seluruh Malaysia telahpun didedahkan dengan kaedah ini melalui kursus-kursus pendek. Sejauh mana yang diketahui, kesesuaian dan keberkesannan kaedah ini di Malaysia belum pernah diselidik.
PERNYATAAN MASALAH
Adakah Isyarat Tangan benar-benar dapat membantu dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran nyanyian semerta? Adakah kemungkinan ianya mengeliru dan menggangu proses pembelajaran? Perlu diingatkan bahawa tumpuan utama dalam bacaan semerta ialah untuk membaca bacaan skor muzik. Isyarat tangan pula mengalihkan perhatian murid, bukan kepada skor lagu tetapi kepada pergerakkan tangan guru. Dalam kaedah ini, murid-murid juga digalak untuk melakukan isyarat tangan bersama dengan guru. Ini menimbulkan persoalan kerana murid bukan hanya membaca skor lagu tetapi mereka terpaksa menghafal dan melakukan bentuk pergerakkan tangan yang telah ditetapkan. Kegunaan isyarat tangan dalam pelajaran, memerlukan penguasaan beberapa kemahiran yang dilakukan secara spontan oleh guru dan murid. Ini mungkin akan lebih mengelirukan murid dan melambatkan proses pembelajaran.
TUJUAN KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk melihat perbezaan di antara pengajaran dan pembelajaran kemahiran Nyanyian Semerta yang menggunakan bantuan `Isyarat Tangan’ dengan pengajaran pembelajaran Kemahiran Nyanyian Semerta yang dijalankan tanpa menggunakan Isyarat Tangan.
HIPOTESIS KAJIAN
Hipotesis Null
Tidak ada perbezaan di antara pengajaran dan pembelajaran kemahiran Nyanyian
Semerta yang dijalankan dengan bantuan Isyarat Tangan dengan pengajaran pembelajaran
kemahiran Nyanyian Semerta yang dijalankan tanpa bantuan Isyarat Tangan.
Hipotesis Kajian
Pengajaran dan pembelajaran kemahiran Nyanyian Semerta yang dibantu dengan Isyarat Tangan adalah lebih berkesan daripada pengajaran dan pembelajaran kemahiran Nyanyian Semerta yang dijalankan tanpa bantuan Isyarat Tangan .
Batas Kajian
Kajian ini adalah terhad kepada situasi yang menyerupai keadaan guru-guru pelatih Maktab Perguruan Rajang. Isyarat Tangan dalam kemahiran Nyanyian Semerta adalah perkara baru kepada mereka. Walaupun ada dari pada mereka yang telah didedahkan kepada kemahiran Nyanyian Semerta tetapi keseluruhannya, kemahiran mereka dalam nyanyian semerta adalah masih pada peringkat rendah. Oleh itu, kajian in terbatas kepada nyanyian semerta pada peringkat awal.
Definasi Istilah
Isyarat Tangan - Bentuk dan pergerakkan jari dan tangan untuk menunjukkan pic tinggi-rendah suara.
Nyanyian Semerta - Menyanyi mengikut not dalam skor lagu tanpa latihan terlebih dahulu.
KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian ini ingin melihat samaada pengajaran dan pembelajaran yang dibantu dengan Isyarat Tangan benar-benar berkesan atau tidak. Sejauh mana yang diketahui, kajian seperit ini belum pernah dijalankan di Malaysia walaupun Isyarat Tangan telah pun digalakkan kepada guru-guru pelatih di Maktab Perguruan melalui Kaedah Kodaly.
METODOLOGI
Kajian ini adalah jenis pre - pos control group.
Instrumen kajian ini adalah satu ujian Nyanyian Semerta yang dilaksanakan secara amali. Ianya dibina daripada sepuluh buah lagu pendek yang dicipta khas, berdasarkan kepada urutan kesukaran kaedah Kodaly. Lagu-lagu dalam instrumen ini, dinyanyikan secara spontan oleh setiap respondan kajian, sekali pada ujian pra dan sekali lagi pada ujian pos.
Peringkat kesukaran item instrumen ini dikawal supaya dapat mengelakkan daripada seorang dua outliers yang mungkin berupaya mempengaruhi min untuk terus melambung tinggi dan akhirnya menyebabkan masalah Type 1 Error. Type 2 Error pula dielakkan dengan membinakan item-item supaya ianya tidak terlalu mudah. Range kesukaran instrumen ini adalah sederhana luas dan cukup untuk mendapatkan perbandingan pergerakkan min, sambil mengelak daripada Type 1 dan Type 2 Error. Instrumen ini dibina dengan mengambil kira prestasi bakal-bakal respondan yang diambil melalui pemerhatian dan rujukkan rekod-rekod prestasi dan pengalaman pelatih.
Keesahan Instrumen
Instrumen kajian ini adalah dibina daripada sepuluh item ujian nyanyian semerta. Item-item disusun mengikut peringkat kesukaran jeda yang terdapat pada kaedah kodaly. Soalan satu dianggap sebagai soalan yang paling mudah, manakala soalan sepuluh pula, dianggap sebagai soalan yang paling sukar dari segi jeda-not. Mengikut kaedah Kodaly, jeda yang paling mudah dikuasai adalah jeda yang terdapat di antara mi dan so. Idea yang penting dalam instrumen ini adalah untuk membina satu range kesukaran daripada jeda mudah (soalan satu), kepada jeda yang lebih sukar (soalan sepuluh). Tiap-tiap item mempunyai jumlah markah maksima 10.   Jumlah markah minimum untuk setiap item pula adalah satu dan bukannya kosong.
Kebolehpercayaan Instrumen
Instrumen ini belum pernah digunakan di mana-mana kajian. Oleh itu, satu ujian kebolehpercayaan dijlankan terlebih dahulu ke atasnya, mengunakan 21 orang guru pelatih sebagai respondan. Mereka adalah dipilih daripada Kumpulan mata pelajaran Elektif Seni. Mereka dipilih kerana Nyanyian Semerta adalah satu perkara yang baru bagi mereka. Markah yang diperolehi daripada ujian ini seterusnya dianalisakan menggunakan analisis Cronbach’s Alpha.
Cronbach’s Alpha boleh ditafsirkan sebagai ...the squared correlation between the score a person obtains on a particular scale (the observed score) and the score he would have obtained if questioned on all of the possible items in the universe (the true score). Hasil analisis yang telah dibuat ke atas instrumen kajian ini adalah Alpha = 0.83.
Perlu juga diingatkan di sini bahawa paras Cronbach’s Alpha juga bergantung kepada jumlah item yang terdapat dalam instrumen. Contohnya, instrumen yang mempunyai sepuluh item, akan menghasilkan alpha ke paras 0.71 jika purata antara item berkenaan berada pada paras 0.2. Purata item yang sama pula, akan naik kepada paras 0.86 jika item instrumen berkenaan ditambah kepada 25 item. Marija J. Norusis (1990, B-191). Berbanding dengan contoh di atas, Instrumen kajian ini adalah mempunyai paras kebolehpercayaan yang amat tinggi.
Sempel Kajian
Sempel kajian ini adalah terdiri daripada 60 orang guru pelatih lelaki dan perempuan daripada pelbagai kaum di negeri Sarawak. Semua respondan adalah kumpulan guru pelatih Maktab Perguruan Rajang yang mengambil muzik sebagai matapelajaran Elektif. Nyanyian Semerta dan Isyarat Tangan adalah perkara baru kepada kebanyakkan mereka.
Dua kumpulan diwujudkan. Kumpulan Kawalan terdiri daripada 28 orang, manakala kumpulan eksperimen adalah terdiri daripada 32 orang. Untuk memudahkan perlaksanaan kajian ini, keahlian kedua-dua kumpulan di atas adalah ditentukan berdasarkan kumpulan-kumpulan yang sedia ada di maktab.
Cara-Cara Menjalankan Kajian
Pra ujian adalah diberi kepada kedua-dua kumpulan. Setelah itu, kedua-dua kumpulan (kumpulan Kawalan dan kumpulan Eksperimen) diajar seperti biasa. Pembelajaran Nyanyian Semerta juga diserapkan seperti biasa tetapi kumpulan Eksperimen diajar dengan bantuan Isyarat Tangan. Pengajaran ini dijalankan secara berterusan dalam 2 jam seminggu selama enam minggu (12 jam). Selepas ini, kedua-dua kumpulan diuji sekali lagi (ujian pos). Ujian pra dan ujian pos adalah dijalankan menggunakan instrumen yang sama.
Pengumpulan Data
Ujian pra dan ujian pos adalah dijalankan secara amali. Tiap-tiap respondan diuji seorang demi seorang untuk kedua-dua ujian. Merkah yang diperolehi oleh setiap respondan adalah direkod ke dalam 10 column. Jumlah column yang perlu diwujudkan adalah mengikut jumlah item yang terdapat di dalam instrumen yang digunakan. Untuk memudahkan proses penganalisaan, markah yang diperolehi oleh seseorang respondan adalah direkod ke dalam baris yang sama.
Penganalisaan Data
Tujuan utama penganalisaan data dalam kajian ini adalah untuk mencari perbezaan min pada ujian pos, di antara kumpulan Kawalan dengan kumpulan Eksperimen.
Analisis Diskriptif
Penganalisaan diskriptif sedikit sebanyak dapat memberi gambaran mengenai sifat-sifat respondan. Antara sifat-sifat yang penting, ialah perbezaan min antara kumpulan kawalan dengan kumpulan Eksperimen pada ujian pra. Kumpulan Kawalan mencatat min yang lebih rendah (31.78) jika dibandingkan dengan kumpulan Eksperimen yang mencatan min pada paras 38.93 (sila rujuk JADUAL 1). Ini menunjukkan bahawa ada kemungkinan besar kumpulan Eksperimen mempunyai kemahiran yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan Kawalan pada peringkat ujian Pra. Perbezaan ini perlu diambilkira semasa membuat perbandingan antara kumpulan Kawalan dengan kumpulan Eksperimen pada ujian Pos.
Sisihan piawai yang lebih rendah pada ujian Pos (15.29) untuk kumpulan Eksperimen, jika dibandingkan dengan Sisihan Piawai ujian Pra (17.91), menunjukkan bahawa kemaraan min untuk kumpulan mereka ke paras yang lebih
tinggi telah tersekat. Ini adalah kerana kenaikkan markah untuk bakal-bakal outlier telah tersekat kepada satu platue dan seterusnya menyekatkan pengaruh mereka untuk menaikkan min yang boleh mengakhibatkan type 1 error. Sisihan Piawai bagi kumpulan Kawalan pula, adalah semakin besar pada ujian Pos (13.03), berbanding dengan Sisihan Piawai = 9.75 pada ujian Pra. Ini menunjukkan keluasan range dalam instrumen, dimana pergerakkan min adalah lebih bebas dan mudah. Keadaan seperti ini sedikit sebanyak mengelakkan daripada type 2 error.
RAJAH 1
UJIAN PRA
  N MIN S.PIAWAI
KUMPULAN KAWALAN 28 31.78 9.75
KUMPULAN EKSPERIMEN 32 38.93 17.91
RAJAH 2
UJIAN POS
  N MIN S.PIAWAI
KUMPULAN KAWALAN 28 47.21 13.03
KUMPULAN EKSPERIMEN 32 66.59 15.29

Kesignifikanan Kajian
Perkara utama dalam kajian ini ialah untuk mendapat perbandingan yang adil dan tidak bias di antara kumpulan Kawalan dengan kumpulan Eksperimen pada ujian pos. Kesignifikanan perbandingan berkenaan perlulah diperolehi dengan menggunakan penganalisaan ANCOVA. Ini adalah untuk mengelakkan daripada membuat perbandingan yang bias dan salah disebabkan oleh Min yang tidak sama pada peringkat ujian pra. Untuk mengelakkan daripada ketidakadilan, perbandingan di antara kumpulan Kawalan dengan kumpulan Eksperimen pada peringkat ujian pos adalah didasarkan kepada adjusted mean sepertimana yang terdapat pada JADUAL 3. Adjusted mean untuk kumpulan Kawalan ialah 49.10 manakala kumpulan Eksperimen mempunyai adjusted mean setinggi 64.93.
Kemuncak bagi kajian ini adalah penolakkan hipotesis null dan penerimaan hipotesis kajian. Ini dapat dilakukan dengan dengan adanya nilai F-RATIO yang tinggi dan signifikan pada paras p < 0.01. Nilai-nilai F-RATIO berkenaan bolehlah dirujuk pada JADUAL 3. Nilai F-RATIO yang begitu tinggi dan disokong dengan nilai p yang amat rendah, sekaligus menolak kemungkinan berlakunya type 1 dan type 2 error, Type 1 dan type 2 error boleh berlaku apabila jumlah sampel yang digunakan didapati kurang daripada 30 orang (sempel kajian ini adalah 28 rang sahaja bagi kumpulan Kawalan).
Keyakinan untuk menerima hipotisis kajian juga boleh disokong dengan merujuk kepada nilai SQUARED MULIIPLE R dalam JADUAL 3. Nilai berkenaan boleh ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa 49.8% daripada nilai F adalah dijelaskan oleh Isyarat Tangan. Mengikut Cohen (1996, p,242), William J.Vincent (1995, p. 162) .... nilai > .20 adalah besar, nilai > .10 adalah sederhana dan nilai > .05 adalah kecil di dalam sain behavioral.
JADUAL 3
DEP VAR: POS                     N: 60              MULTIPLE R: 0.706                SQUARED MULTIPIE R: 0.498
ANALYSIS OF VARIANCE
SOURCE
SUM-OF-SQUARES
DF
MEAN-SQUARE
F-RATIO
P
KUMPULAN 352.7465 1 3527.465 22.949 0.000
PRA 3079.016 1 3079.016 20.031 0.000
ERROR 8761.417 57 153.709    
ADJUSTED LEAST SQUARES MEANS
  ADJ.LS MEAN SE N
KUMPULAN KAWALAN 49.107 2.381 28
KUMPULAN EKSPERIMEN 64.938 2.223 32
DAPATAN KAJIAN
Kajian ini telah berjaya menolak hipotesis null dan seterusnya menerima hipotesis kajian. Persoalan kajian telahpun dijawab. Dapatan lain yang boleh diberi perhatian adalah perkara-perkara yang berlaku semasa langkah-langkah perlaksanaan kajian dijalankan. Satu daripadanya ialah, ketangkasan pelajar menguasai lagu-lagu yang digunakan sebagai latihan. Lagu-lagu latihan Nyanyian Semerta yang diajar menggunakan bantuan Isyarat Tangan didapati lebih mudah dan cepat untuk dikuasai.
Dapatan kajian ini boleh juga dilihat dan ditafsir daripada pergerakkan sisihan piawainya. Perbandingan sisihan piawan dalam kedua-dua ujian (pra/pos) sedikit sebanyak telah menjelaskan bahawa Isyarat Tangan adalah lebih berkesan untuk mengajar peringkat awal kemahiran Nyanyian Semerta.
PERBINCANGAN DAN CADANGAN
Kemahiran membaca merupakan satu kemahiran yang tidak patut dipandang ringan. Ia merupakan perkara utama dalam pendidikan muzik. Nyanyian Semerta adalah satu latihan nyanyian yang bertujuan untuk menguasai kemahiran membaca muzik dengan sistem solfa. Isyarat Tangan pula adalah satu aktiviti yang dapat membantu kemahiran Nyanyian Semerta. Ketiga-tiga aspek tersebut boleh membantu antara satu sama lain untuk menjadikan seseorang pemuzik berkenaan mahir, kreatif lagi berketrampilan.
Kajian ini adalah tertumpu kepada kemahiran membaca muzik pada peringkat awal. Penguasaan kemahiran yang kukuh pada peringkat awal diharap akan dapat memudahkan lagi penguasasaan kemahiran di peringkat yang lebih sukar.
Kajian seperti ini boleh juga dijalankan di Sekolah Rendah dengan populasi sasaran yang lebih besar. Selain dari itu, keberkesanan Isyarat Tangan boleh juga diterokai dari aspek sebab-sebab ianya berkesan.
Usaha seperti ini diharap akan dapat memperkayakan lagi kegiatan muzik dalam dunia pendidikan. Segala usaha untuk mengkaya dan membela dunia muzik dalah satu usaha ke arah kecemerlangan bangsa dalam persaingan dan evolusi budaya.

BIBLIOGRAFI
Yong Yoke Fah dan Loo, Barnitus. (1994). Mari Bergembira Dengan Rekoder. Penerbit Muzikal.
Pedagogi Kodaly Dalam Pengajaran Pembelajaran Muzik. ( OGOS 1995).
Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru.
Vincent, William J. (1995) . Statistics In Kinesiology . Human Kinetics
Norusis, Marija J. (1990) . SPSS Statistical Data Analysis . SPSS Inc.
Kostka, Stefan & Payne, Dorothy .(1994). Tonal Harmony With an Introduction To Twentieth-Century Music. Third Edition. McGraw- Hill ,Inc.
Jurnal Jilid 8. (1994) . Maktab Perguruan Rajang .
Leedy, Paul, D. (1993). Practical Research .Planninig and Design. Fifth Edition.
Macmillan Publishing Company.
Microsoft Encarta. (1995) Multimedia Encyclopedia. Microsoft Corpporation.
Systat Version 5.0 . Copyright 1990-1994. Systat, Inc.

1 comment:

  1. boleh emelkan asgmnt ni tak en.. kpd alikgtenang@yahoo.com.my

    ReplyDelete

Gunakan akal dan budi untuk menulis. Terima Kasih Tuan..

About Me

Followers