PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memahami belia. Kerana itu, beliau menggunakan pendekatan "penghakupayaan belia"
(youth empowerment)
dalam penggubalan dasar dan program belia. Beliau mendengar suara
belia dalam proses tersebut melalui pelbagai bentuk partisipasi,
seperti makmal, pameran, media sosial, pertemuan dan sebagainya.
Contohnya, beliau menerjemahkan resolusi Makmal Pemuda BN, seperti
skim perumahan pertama dan tabung belia 1Malaysia, menjadi program baru
kerajaan.
Sabtu lalu, beliau mengiktiraf Makmal Transformasi Pembangunan Belia
anjuran Kementerian Belia dan Sukan, dengan mengumumkan cadangannya
menjadi program baru, iaitu Parlimen Belia, taman belia, portal belia,
ikon belia, sukarelawan belia dan mentor keusahawanan belia.
Datuk Seri Najib telah melakukannya. Persoalannya ialah sejauh
manakah kita yang di bawah ini, iaitu di peringkat pelaksanaan
kerajaan/institusi, benar-benar mengamalkan penghakupayaan belia dalam
merealisasikan program-program tersebut serta dalam program-program
belia (termasuk mahasiswa dan pelajar) yang lain?
Saya timbulkan persoalan ini kerana, walaupun penghakupayaan tercatat
dalam Dasar Pembangunan Belia Negara dan pelbagai dasar yang lain,
tetapi, pelaksanaannya masih tidak memuaskan. Sebab utamanya kerana
sebahagian daripada kita tidak menghayati makna penghakupayaan belia itu
sendiri.
Masalah pertamanya ialah apabila istilah bahasa Inggeris
empowerment
diterjemahkan ke bahasa Melayu sebagai "pengupayaan". Ketika saya
menerjemahkannya pada tahun 1996, tidak ada istilah bahasa Melayu yang
tepat. "Pengupayaan" tidak tepat. Justeru, saya mencipta istilah
"penghakupayaan".
Definisi penghakupayaan belia ialah "membolehkan dan mendapatkan
belia untuk berfikir dan bertindak atas semua isu (peribadi, keluarga,
sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh
dirinya dan segala yang di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian
daripadanya".
Ini memerlukan kerajaan/institusi membolehkan dan mendapatkan
perwakilan belia terlibat dalam struktur dan proses membuat keputusan
yang melibatkan mereka.
Penghakupayaan berada dalam satu kontinum, iaitu: "dari peluang
kepada hak" dan "dari perundingan tidak formal kepada keterlibatan
secara berstruktur dan formal dalam proses membuat keputusan".
Perspektif ini meliputi konsep-konsep lain seperti "menjana kapasiti",
"hak asasi", "tanggungjawab", "autonomi", "pembangunan partisipatif" dan
sebagainya.
Penghakupayaan mula-mulanya digunakan sebagai istilah politik oleh
aktivis mahasiswa Amerika Syarikat (AS). Kemudian, ia menjadi istilah
perniagaan yang popular. Ia satu gaya pengurusan. Ia bermakna kuasa
orang bawahan untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan.
Hari ini, telah terbukti bahawa kaki tangan yang terhakupaya dalam
apa-apa organisasi adalah lebih produktif dan efektif. Ini kerana
penghakupayaan mengizinkan keputusan dibuat lebih cepat dan tepat oleh
kaki tangan yang mempunyai kefahaman yang lebih terhadap kehendak
pelanggan, kerana rapat dengannya, berbanding pegawai atasan yang tidak
rapat dengan pelanggan.
Penghakupayaan menawarkan potensi untuk meraih takungan kapasiti
sumber manusia yang selama ini tidak digunakan sepenuhnya, yang
semestinya dioptimumkan sekiranya sesebuah organisasi dan negara ingin
benar-benar maju.
Kini, setelah sekian lama dipopularkan, penghakupayaan belia mula
disebut ramai. Tetapi, ramai masih tidak pasti dengan maknanya yang
sebenar. Malahan telah timbul beberapa kekeliruan terhadap maknanya. Di
antara kekeliruan tersebut ialah:
n Memberikan tugasan kerajaan/institusi kepada belia.
Ini lambakan.
n Melantik belia sebagai wakil kerajaan/institusi.
Ini delegasi.
n Menyerahkan kuasa kerajaan/institusi kepada belia tanpa had atau tanggungjawab.
Ini anarki.
n Mengundang belia untuk membantu membuat keputusan kerajaan/institusi.
Ini pengurusan partisipatif.
n Kerajaan/institusi menggunakan belia untuk memajukan sesuatu
program atau objektif tanpa belia mengetahui tentang apa yang
disertainya.
Ini manipulasi.
n Belia terlibat tetapi tidak dapat membuat keputusan tentang tujuan, cara atau tahap keterlibatannya itu.
Ini tokenisme.
n Belia dilibatkan untuk menjustifikasikan sesuatu program itu adalah program belia.
Ini kosmetik.
Sebab itulah penghakupayaan belia yang sebenar perlu difahami.
Penghakupayaan belia bukan bermakna memberikan kuasa kepada mereka.
Sebaliknya, ia adalah proses menyalurkan idealisme, aktivisme dan
intelektualisme yang telah sedia dimilikinya.
Dalam mengamalkan penghakupayaan belia, semua individu dan organisasi
yang berkaitan perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dari
segi cara berfikir dan berbuat. Struktur dan hirarki yang wujud perlu
dinipiskan. Ini akan melibatkan penyesuaian dalam sekurang-kurangnya
tiga aspek.
Pertama, peraturan membuat keputusan diubah.
Keputusan ditarik ke
bawah sehingga ke tahap tindakan. Kedua, deskripsi tugasan diperluaskan
dan setiap yang terlibat menjadi multi-trampil dan mampu membuat
keputusan apabila berurusan dengan rakan/pelanggan. Dan ketiga,
komunikasi yang formal dan berlapis-lapis digantikan oleh jaringan
komunikasi yang fleksibel dengan bantuan ICT.
Peranan kerajaan/institusi perlu berubah. Organisasi yang terhakupaya
meletakkan sumber manusianya dalam pasukan-pasukan kerja dan tidak
lagi mengikut fungsi-fungsi yang
rigid. Pasukan-pasukan ini
didorong oleh matlamat, bukan oleh arahan; dan ketua tidak lagi
mengawas, tetapi mengenal pasti mereka yang mampu menjalankan tugas dan
membenarkan mereka menjalankannya mengikut budi bicaranya. Ketua
berubah menjadi fasilitator.
Ini tidak bermakna yang peranan kerajaan/institusi akan hilang sebaik
sahaja penghakupayaan belia dijalankan. Tetapi, cara-cara tradisional
yang "dari atas ke bawah", "memaksa ketaatan", "mengekalkan
conformity" dan "menghukum apabila silap" perlu ditamatkan.
Governans cara lama menggunakan kerajaan/institusi sebagai paksi.
Andaiannya ialah belia tidak mampu berfikir untuk dirinya atau negara.
Lantas mereka hanya diminta (baca: diarah) untuk sekadar menjadi
pengikut dasar dan peserta program semata-mata.
Andaian ini tidak lagi relevan dan konsisten dengan pengalaman
kontemporari. Penghakupayaan tidak menggunakan kerajaan/institusi
sebagai paksi. Ia mempunyai andaian baru, iaitu belia memiliki kemampuan
berfikir untuk dirinya dan negara.
Belia hari ini mempunyai pengalaman yang amat berbeza daripada
apa-apa yang dialami oleh kerajaan/institusi. Mereka yang tidak
memahaminya bersungut bahawa sebahagian belia kurang berminat dengan,
contohnya, politik dan program kerajaan.
Sebenarnya, belia melihatnya
sebagai tidak relevan, tidak menggamit imaginasi atau tidak memenuhi
citarasa mereka.
Kini, ramai belia mempunyai aspirasi yang telah melampaui apa yang
kita fikirkan. Jika kita tidak menyelami minda mereka, kita akan rugi
kerana akan ketinggalan zaman. Jika kita halang percambahan minda
mereka, kita akan rugi kerana mereka akan meninggalkan kita.
Justeru, kita perlu melihat, menerima dan mengiktiraf belia dengan
pendekatan baru, iaitu penghakupayaan belia, dalam ertikatanya yang
sebenar